KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Duta Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal pada Khamis melawat rakyat Malaysia yang menetap di ibu pejabat Turkish Aerospace Industries (TAI) di Kahramankazan, terletak 40 kilometer di utara Ankara, berikutan serangan pengganas pada Rabu.
“Duta Besar Sazali turut mengambil kesempatan melawat rakyat Malaysia yang bekerja, menjalani latihan dan menetap di TUSAS (Turkish Aerospace Industries). Kesemua 30 rakyat Malaysia selamat,” menurut Kedutaan Malaysia di Ankara, Turkiye yang disiarkan di platform X.
Sazali turut mengadakan kunjungan hormat ke atas presiden dan ketua pegawai eksekutif Turkish Aerospace Industries Mehmet Demiroglu, di ibu pejabat TAI di Ankara.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada mangsa serangan pengganas dan mendoakan mereka yang cedera cepat sembuh.
Terdahulu, Kementerian Luar Malaysia mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian itu.
Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan 22 cedera dalam serangan pengganas pada Rabu di ibu pejabat TAI di Ankara, lapor Agensi Anadolu.
Menteri Dalam Negeri Turkiye pada Khamis mengesahkan proses pengecaman pengganas yang dibunuh dalam serangan di TAI, selesai.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial