BELANJAWAN 2025 > BERITA

Keahlian Malaysia Dalam Kumpulan Tindakan Menteri-Menteri Komanwel Disambung Bagi Penggal Ketiga

26/10/2024 11:45 AM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Malaysia telah dipilih untuk menyambung keahliannya dalam Kumpulan Tindakan Menteri-Menteri Komanwel (CMAG) bagi penggal ketiga berturut-turut untuk tempoh 2024 hingga 2026.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pemilihan Malaysia telah diperakukan oleh Mesyuarat Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan Komanwel (CHOGM) semasa CHOGM 2024 pada Sabtu (26 Oktober) di Apia, Samoa.

“Keahlian berterusan dalam CMAG menandakan pengiktirafan Komanwel terhadap Malaysia dalam memperjuangkan nilai-nilai tadbir urus yang baik, pematuhan undang-undang dan penghayatan hak asasi manusia, selaras dengan mandat CMAG,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata Malaysia akan berkhidmat dalam CMAG bersama-sama dengan Antigua dan Barbuda, Botswana, Kanada, Grenada, Malta, Mauritius, Samoa dan Zambia.

Malaysia mempunyai sejarah panjang berkhidmat dalam CMAG, setelah berkhidmat dari 1995 hingga 2002, 2005 hingga 2009 dan 2018 hingga 2024.

CMAG telah diwujudkan pada 1995 untuk mempertahankan prinsip dan nilai teras Komanwel, berperanan sebagai penjaga piawaian politik terasnya dan menangani situasi di mana berlaku pelanggaran serius atau berterusan dalam kalangan negara anggota.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan