BELANJAWAN 2025 > BERITA

PMKS Malaysia Harus Diperkasakan Dengan AI, Teknologi Digital – Gobind

26/10/2024 07:08 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) perlu diperkasakan agar dapat memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital, menurut Kementerian Digital.

Langkah ini boleh mendorong mereka untuk beralih ke arah model perniagaan baharu yang dapat mengoptimumkan operasi dan meningkatkan potensi ekonomi, kata Menterinya, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata kerajaan telah memulakan beberapa program untuk menyokong penggunaan teknologi digital, memandangkan sektor PMKS mewakili hampir 97 peratus perniagaan di Malaysia.

"Pertama, kami boleh memberi insentif kepada syarikat untuk mendigitalkan, menggalakkan mereka agar mempertimbangkan untuk mengautomasikan operasi mereka bagi meningkatkan produktiviti.

"Penglibatan dan kesedaran juga penting. Orang ramai perlu memahami bahawa kaedah tradisional mungkin tidak menghasilkan faedah yang sama seperti pendekatan moden. Syarikat yang menerima pakai teknologi baharu akan mendapati mereka berada pada kedudukan yang lebih baik berbanding mereka yang tidak," katanya sebagai respons kepada peserta di Forum Ekonomi Belia 2024 di sini hari ini.

Gobind berkata, kementeriannya mengekalkan hubungan rapat dengan badan industri dan persatuan PMKS.

“Penting bagi PMKS untuk menyedari bahawa penyesuaian bukanlah pilihan jika mereka mahu mengelak daripada ketinggalan.

"Apabila ada kesedaran, kami boleh memberi tumpuan untuk menyediakan sokongan untuk membantu mereka membina semula dan mentakrifkan semula perniagaan mereka selaras dengan kemajuan teknologi," katanya.

Bagaimanapun, Gobind turut menekankan kepentingan membangunkan tenaga kerja dalam bidang berkenaan.

"Membangunkan bakal tenaga kerja dalam teknologi, terutamanya dalam AI, adalah penting. Kerajaan pada masa ini memberi tumpuan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk menyediakan belia kita menghadapi permintaan pasaran baharu.

"Dalam sektor digital, kami mempunyai inisiatif yang sama, iaitu TVET versi digital atau DVET. Matlamat kami adalah untuk syarikat melatih pekerja semasa mereka bekerja, membolehkan mereka memperoleh ijazah dan maju dalam kerjaya mereka," kata Gobind.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan