BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kejohanan Golf Maybank: Mirabel Catat Lapan Bawah Par Untuk Saingi Jeeno

26/10/2024 07:46 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Pemain amatur negara Mirabel Ting melakukan 64 pukulan untuk mencatat lapan di bawah par, berkongsi status pemain terbaik bersama Jeeno Thitikul dari Thailand pada pusingan ketiga Kejohanan Golf Maybank 2024 di Kuala Lumpur Golf & Country Club di sini hari ini.

Selepas mengharungi pusingan kedua yang mencabar, Mirabel, 18, bangkit untuk membenam lapan birdie (di lubang ketiga, keempat, ke-11, ke-13, ke-14, ke-15, ke-17 dan ke-18), mencatat jumlah keseluruhan 10 bawah par 206 selepas tiga hari beraksi.

Anak kelahiran Miri, Sarawak yang bermain dalam Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) pertamanya, kini menjadi pemain golf tempatan terbaik, berkongsi tempat ke-10 bersama pemain Australia Gabriela Ruffels dalam kejohanan bernilai US$3 juta (kira-kira RM13 juta).

Sebagai satu-satunya pemain amatur dalam kejohanan itu, Mirabel bermula dengan baik apabila mencatat lima bawah par 67 pada Khamis, tetapi sedikit tersasar semalam, mencatat tiga atas par 75.

“Saya membuat pukulan dengan sangat baik dan putt saya juga menjadi hari ini. Jadi, itu dua perkara yang saya lakukan dengan sangat baik dan berjaya mencatat jumlah ini,” katanya.

Sementara itu, pemain profesional negara Ashley Lau meneruskan momentum dengan mencatatkan enam bawah par 66 untuk menamatkan saingan tempat ke-12 bersama enam pemain lain dengan catatan keseluruhan sembilan bawah par 207.

Ashley berkata walaupun beliau berasa letih, namun berpuas hati dengan prestasinya hari ini setelah mencipta beberapa peluang mendapatkan birdie.

“Saya rasa putt saya akan masuk dengan baik dan saya memperoleh banyak peluang melakukan birdie. Saya rasa saya hanya terlepas satu atau dua green hari ini.

“Sudah pasti ia membantu. Secara keseluruhan, saya sangat gembira dengan permainan saya,” kata Ashley, yang mencatat enam birdie hari ini.

Selain itu, wakil tempatan lain Nur Durriyah Damian dan Liyana Durisic kekal di kelompok bawah dalam senarai 76 pemain golf, dengan masing-masing mencatat keseluruhan 17 atas par 233 dan 20 atas par 236.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan