BELANJAWAN 2025 > BERITA

Hari Bertenang Di Uzbekistan Sebelum Pilihan Raya Ahad

26/10/2024 10:40 PM

Daripada Rohani Mohd Ibrahim

SAMARKAND (Uzbekistan), 26 Okt (Bernama) -- Uzbekistan kini berada dalam hari bertenang pada Sabtu, menandakan tamatnya kempen pilihan raya yang telah berlangsung selama beberapa bulan sejak Julai, sebelum hari mengundi pada Ahad.

Pada hari ini, semua bentuk kempen - melalui televisyen, radio, media sosial, dan sepanduk fizikal - dilarang sama sekali.

Bagi Munisa Karimova, seorang penterjemah Bahasa Inggeris berusia 36 tahun dari Samarkand, hari bertenang ini memberi peluang untuk merenung dengan tenang dan membuat keputusan mengenai calon yang akan dipilih pada Ahad.

Seramai kira-kira 20 juta pengundi layak di Uzbekistan akan keluar mengundi pada Ahad untuk memilih 150 timbalan ke Dewan Perundangan, 56 anggota Senat, serta timbalan ke majlis wilayah, daerah, dan bandar.

Tinjauan Bernama di dua pusat mengundi di Samarkand, 360km dari Tashkent menunjukkan semua persiapan telah selesai dan sedia menerima pengundi mulai pukul 8 pagi Ahad.

Menurut Nasimov Ikrom Xusanovich, seorang pegawai di pusat mengundi yang ditempatkan di Fakulti Psikologi dan Sains Politik Sosial Universiti Negeri Samarkand, proses pengundian pada Ahad akan disaksikan oleh lapan pemerhati secara keseluruhan.

"Mereka adalah wakil daripada lima parti politik yang bertanding, seorang pemerhati antarabangsa, pemerhati media dan wakil dari komuniti tempatan," katanya.

Otakulov Bekzod Nuriddinovich, pengurus pusat mengundi di Institut Biokimia Universiti Negeri Samarkand berkata awal minggu ini, pusat itu telah menghantar surat peringatan kepada lebih daripada 1,500 pengundi berdaftar.

"Pengundi yang tidak tersenarai di pusat ini masih boleh mengundi di sini dengan pengesahan daripada pusat asal mereka," katanya.

Awal bulan ini, Duta Uzbekistan ke Malaysia Karomiddin Gadoev memberitahu Bernama bahawa pusat pengundian juga akan ditubuhkan di 59 misi diplomatik Uzbekistan di seluruh dunia, termasuk di Kedutaan Uzbekistan di Kuala Lumpur.

Lima parti politik telah dibenarkan untuk menyertai pilihan raya kali ini :  Gerakan Usahawan dan Ahli Perniagaan - Parti Demokratik Liberal Uzbekistan (O’zLiDeP), Parti Demokratik “Milliy Tiklanish”, Parti Ekologi Uzbekistan, Parti Demokratik Rakyat, dan Parti Demokratik Sosial “Adolat”.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan