BELANJAWAN 2025 > BERITA

Jepun Adakan PRU Ketika PM Ishiba Berusaha Peroleh Mandat Baharu

27/10/2024 11:52 AM

TOKYO, 27 Okt (Bernama-Kyodo) -- Pengundian bagi pilihan raya umum bermula di seluruh Jepun pada Ahad, ketika Perdana Menteri baharu Shigeru Ishiba, mencari mandat baharu di tengah-tengah keraguan terhadap pengurusan dana politik oleh parti pemerintah.

Parti Demokratik Liberal (LDP) bersama rakan pakatan juniornya, parti Komeito menyasarkan untuk mengekalkan majoriti dalam Dewan Perwakilan yang mempunyai 465 kerusi.

Bagaimanapun, tinjauan media menunjukkan mereka berdepan cabaran yang signifikan, lapor Agensi Berita Kyodo.

Keputusan akhir pilihan raya dijangka akan diumumkan pada awal Isnin.

Kira-kira 1,300 calon bersaing merebut 465 kerusi, dengan 289 diperuntukkan kepada kawasan undi tunggal dan 176 melalui perwakilan berkadar.

Ishiba membubarkan Dewan Perwakilan pada 9 Okt, hanya lapan hari selepas dilantik dengan berikrar untuk memulihkan kepercayaan rakyat terhadap politik serta meneruskan inisiatif dasar utama.

Perdana Menteri berusia 67 tahun itu komited untuk mengurangkan kesan inflasi terhadap isi rumah, memperkukuh pertahanan Jepun daripada ancaman keselamatan dari negara jiran, serta meningkatkan ekonomi serantau dan kesiapsiagaan bencana.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan