BELANJAWAN 2025 > BERITA

Mirabel Muncul Pemain Terbaik Malaysia Pada Kejohanan Golf Maybank 2024

27/10/2024 08:42 PM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Pemain amatur negara Mirabel Ting muncul sebagai pemain tempatan terbaik selepas berkongsi kedudukan di tempat ke-12 bersama lima pemain lain pada Kejohanan Golf Maybank 2024 di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) Bukit Kiara di sini hari ini.

Mirabel, 18, satu-satunya pemain amatur yang beraksi pada kejohanan Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA) bernilai AS$3 juta (RM13.02 juta) itu menamatkan saingan dengan catatan dua bawah par 70 pada pusingan akhir hari ini.

Selepas empat hari beraksi, beliau mencatat keseluruhan 12 bawah par 276, sekali gus berkongsi kedudukan dengan juara bertahan Celine Boutier dari Perancis.

Pemain kelahiran Miri, Sarawak, yang merekodkan catatan 67-75-64 pada tiga pusingan pertama itu berkata beliau gembira dengan persembahan dan kemampuannya menangani tekanan pada penampilan pertama dalam kejohanan LPGA.

“Perkataan tidak dapat menggambarkan betapa pentingnya untuk saya membuat persembahan yang baik di pentas tertinggi minggu ini. Akhirnya saya percaya pada diri sendiri bahawa saya mampu melakukan sesuatu pada kejohanan besar dan paling penting saya berjaya menangani tekanan dan orang ramai.

 “Emosi saya sedikit terganggu terutama apabila melihat kehadiran orang ramai tanpa ayah saya yang meninggal dunia dua tahun lepas.

“Untuk beraksi di hadapan penyokong sendiri, saya memerlukan sokongan padu daripada mereka. Ayah pasti melihat saya dan saya percaya beliau akan berbangga dengan pencapaian saya hari ini,” katanya.

Sementara itu, pemain profesional negara Ashley Lau turut menamatkan saingan dengan baik selepas mencatat satu bawah par 71 untuk berkongsi di tempat ke-22 dengan tujuh pemain lain dengan catatan keseluruhan 10 bawah par 278. Beliau merekodkan 73-68-66 pukulan pada tiga pusingan pertama.

“Aksi saya hari ini sangat perlahan dan saya gagal membuat pukulan dengan baik. Saya juga terlepas beberapa birdie tetapi saya gembira dengan cara saya menamatkan saingan pada hari ini,” katanya.

Dua lagi pemain Malaysia, Liyana Durisic menduduki tempat ke-74 dengan catatan keseluruhan 17 atas par 306 manakala Nur Durriyah Damian menduduki tempat terakhir dengan catatan keseluruhan 21 atas par 309.

Kejayaan Mirabel dan Ashley menamatkan saingan dalam kelompok 22 pemain teratas adalah pencapaian terbaik pemain Malaysia pada Jelajah LPGA yang diadakan di tanah air sendiri selepas Kelly Tan menduduki tempat ke-32 daripada 60 pemain pada Sime Darby LPGA Malaysia 2010.

Kejohanan Golf Maybank 2024 disertai seramai 76 pemain selepas Alison Lee dari Amerika Syarikat dan Jenny Shin (Korea Selatan) menarik diri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan