BELANJAWAN 2025 > BERITA

Rakyat Teruja Saksi Istiadat Persandingan Tengku Muhammad Dan Tengku Natasya Puteri

28/10/2024 12:47 AM

KUANTAN, 27 Okt (Bernama) -- Detik bersejarah Istiadat Persandingan Putera Sultan Pahang Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah dan pasangan, Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan, menjadi momen amat dinanti-nantikan rakyat negeri ini di Padang Bandaraya Kuantan (MBK) 1.

Mereka mula memenuhi kawasan berkenaan dari pukul 8 malam lagi untuk melihat secara dekat menerusi dua layar besar yang disediakan di padang terbabit, kebanyakannya teruja menyaksikan Istiadat Persandingan Pasangan Diraja bagai pinang dibelah dua itu yang berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini malam ini. 

Istiadat perkahwinan diraja yang dilaksanakan dengan penuh adat istiadat dan budaya diraja pahang itu bermula pada 8.36 malam, disaksikan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menggayakan persalinan berwarna krim.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, paduka kakanda dan adinda serta kerabat diraja Pahang selain dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Istiadat bermula selepas Tengku Natasya Puteri yang anggun menggayakan busana putih dengan kerlipan manik dibawa masuk ke Balai Mahkota disusuli ketibaan pengantin lelaki yang segak berpakaian rona sama diiringi gemersik instrumen selo. 

Sirih lat-lat yang kelihatan seolah-olah sejambak bunga kecil yang dipegang Tengku Muhammad untuk diserahkan kepada isteri tercinta yang setia menanti di peterana, menjadi tumpuan pada majlis istiadat berkenaan.

Majlis itu kemudiannya diserikan dengan istiadat menyuap nasi semangat atau pulut kuning antara pasangan pengantin yang disempurnakan kakanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Seri Teja Puan Seri Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah.

Sejurus itu, istiadat bersanding dan merenjis dizahirkan oleh Al-Sultan Abdullah diikuti Tunku Azizah, Sultanah Zahirah, Tengku Hassanal dituruti ibu bapa pengantin perempuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang sempat mengusik pasangan mempelai itu dan kemudiannya isteri, Datin Seri Anggraini Sentiyaki.

Turut merenjis pasangan diraja itu ialah Wan Rosdy dan isterinya Datin Seri Burhah Mohammed disusuli Tengku Panglima Raja Brig Jen Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan kakanda Sultan Pahang, Tengku Puteri Seri Lela Wangsa Tengku Tan Sri Dr Meriam Sultan Ahmad Shah.

Majlis diakhiri dengan meletakkan peralatan istiadat iaitu pancabicara sebagai tanda merestui pasangan itu yang disempurnakan oleh Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah diikuti bacaan doa oleh Mufti Pahang Profesor Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim.

Pasangan pengantin diraja sama cantik, sama padan itu yang tidak lekang menzahirkan senyuman kemudiannya dibawa Tengku Amir meninggalkan istiadat bersanding untuk majlis memotong kek dan santapan. 

Tengku Muhammad dan Tengku Natasya Puteri selamat diijabkabulkan pada Khamis lepas di Balai Mahkota disusuli istiadat berinai pada Jumaat dan kesemua istiadat disiarkan secara langsung menerusi MBK 1 dan Dataran Muzium Diraja, Pekan.

Bagi Norma Mohamad Dom, 66, yang datang bersama anak bongsu, Fadzrul Abdul Aziz, 28, berkata ini merupakan kali kedua ibu kepada empat anak itu menyaksikan istiadat perkahwinan diraja dan menzahirkan tahniah kepada pasangan mempelai berkenaan. 

“Kali pertama, ketika menyaksikan perkahwinan diraja Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah pada Ogos lepas. Memang suka tengok istiadat begini kerana boleh melihat secara dekat cara tradisi perkahwinan diraja Pahang,” katanya kepada Bernama. 

Sementara Khairil Johari Ramli, 50, sanggup datang bersama rakan seawal 4 petang untuk tidak ketinggalan menyaksikan istiadat persandingan diraja, selain turut sama mendoakan pasangan mempelai itu berbahagia sehingga akhir hayat. 

“Pendekatan menyiarkan istiadat perkahwinan diraja secara begini sangat baik kerana dapat mengeratkan lagi hubungan antara keluarga di samping membantu peniaga kecil yang turut diberikan peluang berniaga di padang ini,” katanya. 

Istiadat perkahwinan diraja akan berakhir esok dengan Tengku Amir menurunkan Bendera Istiadat Menutup Kerja diikuti 16 das tembakan meriam yang akan dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bacaan doa oleh Mufti Pahang. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan