BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pegawai Kesuma Diminta Turun Ke Setiap Negeri, Dengar Masalah Pekerja - Sim

27/10/2024 11:33 PM

GEORGE TOWN, 27 Okt (Bernama) -- Pegawai di Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) diminta turun ke setiap negeri untuk mendengar sendiri pandangan serta mendalami masalah yang dihadapi oleh pekerja di negara ini.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata ia selaras dengan aspirasi 3K Kesuma iaitu untuk meningkatkan kebajikan, kemahiran dan keberhasilan pekerja.

“Kita harus bersama-sama dengan pekerja kerana tidak guna kita ada di dalam bilik yang berpenyaman udara, ada di pejabat di Putrajaya … kita harus turun ke negeri-negeri, tidak kiralah di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Kelantan semua negeri kita akan turun padang dengar pandangan pekerja, faham kesusahan pekerja dan kemudian selesaikan masalah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Deepavali Kesuma dan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) di Dewan Perhimpunan Cina Pulau Pinang di sini malam ini yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Sim dalam pada itu berkata kerajaan sentiasa mengambil berat akan kebajikan masyarakat India dan ia dibuktikan menerusi pelaksanaan program peningkatan kemahiran, Malaysian Indians Skills Initiative (MISI) melibatkan dana berjumlah RM30 juta.

Beliau berkata program inisiatif Kesuma dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) itu diwujudkan khusus bagi membantu anak-anak muda dalam komuniti belia India untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang, seperti robotik, kecerdasan buatan (AI), komputer dan pendigitalan seterusnya berpeluang mendapat gaji yang lebih tinggi.

Terdahulu, Sim turut menyerahkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kesuma dan HRD Corp kepada enam pertubuhan kebajikan di sekitar Pulau Pinang dan Kedah dengan masing-masing menerima RM10,000 berserta hamper bersempena dengan perayaan Deepavali yang bakal disambut 31 Okt ini.

Sebanyak 146 penerima daripada keluarga kurang berkemampuan di sekitar negeri ini turut menerima sumbangan berupa bakul makanan serta pemberian kerusi roda dan kotak prihatin Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada lima penerima.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan