BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Rancang Lawat Setiap Negara Anggota ASEAN Sebelum AIPA - Johari

28/10/2024 02:17 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Malaysia, selaku Presiden Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) tahun depan, bercadang untuk melawat setiap negara anggota ASEAN sebelum persidangan yang dijadual berlangsung pada September 2025.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul yang juga Presiden AIPA ke-46 berkata perkara berkenaan sedang dirangka dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Kita mengambil sikap bahawa kalau boleh kita nak melawat semua negara jiran dengan anggota ASEAN sebelum berlakunya persidangan pada September tahun depan... saya akan mencuba sebaik mungkin melawat semua negara anggota ASEAN ini.

“Insya-Allah sedang dirangkakan dan saya jangka mungkin masa terdekat, hingga tamat sahaja sidang (Dewan Rakyat) 12 Dis ini. Rancangan sedang dibuat untuk saya mengunjungi semua speaker-speaker di dewan-dewan ASEAN,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini hari ini. 

Johari berkata selaras dengan Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN 2025, beliau telah melaksanakan tindakan proaktif dan meneruskan kesinambungan pengukuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan negara anggota ASEAN menerusi lawatan rasmi ke Vietnam pada 23 hingga 25 Okt lepas.

Beliau berkata kunjungan berkenaan turut menumpukan kepada persiapan Malaysia bagi penganjuran AIPA ke-46 dengan matlamat meningkatkan kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, tenaga bersih serta pertukaran budaya untuk memperkukuh ASEAN yang inklusif dan mampan.

Johari dalam lawatan itu telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Vietnam merangkap Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam To Lam, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh serta rakan sejawat, President of the National Assembly of Vietnam Tran Thanh Man. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan