BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sabah Berkuasa Dalam Industri Minyak Sawit Dengan 4.5 Juta Tan Hasil MSM Pada 2023 - Hajiji

28/10/2024 04:15 PM

KOTA KINABALU, 28 Okt (Bernama) -- Sabah kekal sebagai pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar di negara ini dengan pengeluaran sebanyak 4.5 juta tan pada 2023 disebabkan oleh hasil buah yang tinggi dan kadar pengekstrakan minyak yang baik, kata Ketua Menterinya Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata Sabah sebagai kuasa dalam industri minyak sawit Malaysia, perlu bersedia dan mesti memperkenalkan pendekatan inovatif untuk membantu industri mencapai serta memenuhi keperluan pensijilan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Hajiji berkata kerajaan negeri juga komited untuk memastikan masa depan industri minyak sawit yang merupakan komoditi eksport paling penting di Sabah, menyumbang sebanyak 22 peratus atau RM6.22 bilion kepada hasil negeri dari 2018 hingga 2023.

“Apabila kita memandang ke arah masa depan, inovasi dan kelestarian mesti kekal sebagai teras usaha kita.

“Sabah sudah memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan produktiviti dan mengurangkan jejak alam sekitar dalam pengeluaran minyak sawit,” katanya pada Persidangan Minyak Sawit Dunia 2024 di sini hari ini.

Ucapan Hajiji disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga merupakan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah.

Ketua Menteri berkata Sabah mengoperasikan 128 kilang di seluruh negeri dengan kapasiti untuk memproses sehingga 34.7 juta tan tandan buah segar setiap tahun manakala kadar pengekstrakan minyak sebanyak 20.4 peratus adalah yang tertinggi di negara ini.

“Hab industri kami adalah kritikal untuk mengekalkan pertumbuhan.

“Kerajaan Sabah memiliki Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu seluas 1,781 hektar di pantai timur Sabah untuk menyokong industri ringan, sederhana dan berat,” katanya.

Beliau berkata industri minyak sawit Sabah memainkan peranan penting dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan menyokong matlamat Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.

Sabah menyumbang 25.75 juta tan biojisim daripada aktiviti pengilangan dan perladangan kelapa sawit sahaja yang memberikan peluang besar untuk tenaga boleh baharu dan inovasi tahun depan, katanya.

Hajiji juga menggesa semua pihak berkepentingan, pelabur, perniagaan dan penggubal dasar untuk menyertai kerajaan negeri dalam menjadikan Sabah sebagai hab global untuk pengeluaran minyak sawit yang mampan.

“Dengan melabur dalam pemprosesan hiliran, menerima pakai teknologi canggih dan mengekalkan piawaian kelestarian tertinggi, kita boleh memastikan bahawa industri penting ini terus berkembang sambil menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau dan sejahtera untuk semua,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan