BELANJAWAN 2025 > BERITA

Naikkan Gaji Minimum Tindakan Berani, Cermin Tekad Kerajaan Perpaduan - Anwar

28/10/2024 07:05 PM

PUTRAJAYA, 28 Okt (Bernama) -- Tindakan menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 mencerminkan tekad politik Kerajaan Perpaduan yang jelas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan tindakan menaikkan kadar baharu itu juga sebagai berani, kerana tiada sebarang keputusan dapat dicapai sekiranya hanya menunggu kata putus daripada pihak syarikat. 

"Kalau saya tanya syarikat, tidak akan ada keputusan, mustahil dapat keputusan. Jadi saya bincang dengan kawan-kawan Jemaah Menteri, prestasi negara amat baik, pelaburan yang masuk cukup memberangsangkan, dan sebuah negara yang makmur tidak boleh ada layanan sebegini kepada pekerja kita.

"..kita naik (gaji minimum) dari RM1,500 kepada RM1,700," katanya dalam majlis pelancaran pembangunan perumahan Residensi MADANI Putrajaya di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming. 

Perdana Menteri berharap supaya semua syarikat dapat memberi kerjasama dalam pelaksanaan kadar baharu gaji minimum yang akan berkuat kuasa Februari tahun depan. 

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas, Anwar mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025.

Kerajaan turut memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh enam bulan, iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

Mengenai pelarasan gaji penjawat awam 15 peratus kepada kumpulan pelaksana dalam Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bermula 1 Dis depan, Anwar berkata para penjawat awam perlu lebih bertanggungjawab terhadap kerja masing-masing. 

Beliau berkata pelarasan gaji penjawat awam itu akan menyaksikan peningkatan kos gaji lebih RM10 bilion.

Menyentuh mengenai tindakan beberapa pihak yang mempersoal bahawa Belanjawan 2025 tidak mempunyai projek mega atau mercu tanda hebat, Perdana Menteri berkata: "Bagi saya projek mega adalah perumahan rakyat, warung, gerai, mutu kemudahan sekolah dan kesihatan yang baik".

Anwar berkata semua pihak perlu mengubah cara pemikiran dengan membuat anjakan mengenai kerangka ekonomi daripada sudut pemacuan pertumbuhan yang segar dan rancak.

Beliau berkata usaha menoktahkan kemiskinan tegar akan disegerakan memandangkan terdapat kalangan kelompok keluarga daif yang tidak mampu mendapatkan makanan asas, susu bayi dan pakaian seragam sekolah.

"Jadi kerajaan tidak boleh lengah, (ini) tanggungjawab yang perlu disempurnakan. Tidak munasabah bagi negara makmur begini, yang catat pertumbuhan, hasil masuk banyak, (tapi) miskin tegar (tinggi)," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan