BELANJAWAN 2025 > BERITA

KPDN Kelantan Laksana Pelan Kontigensi Banjir

28/10/2024 07:00 PM

PASIR PUTEH, 28 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan melantik 60 pemborong utama dan 140 peruncit terpilih di seluruh Kelantan sebagai persediaan mendepani Monsun Timur Laut tahun ini.

Pengarahnya Azman Ismail berkata langkah itu adalah antara pelan kontigensi banjir KPDN Kelantan yang melibatkan tiga fasa iaitu persediaan sebelum, semasa dan selepas bencana tersebut bagi memastikan bekalan makanan asas mencukupi, mudah diperoleh serta dijual pada harga yang ditetapkan.

“Bagi tujuan itu, KPDN melalui Seksyen Penguat Kuasa telah melantik point of interest yang terdiri daripada 60 pemborong utama atau pemborong terpilih daerah (DDW) dan peruncit terpilih daerah (DSR) bagi 140 peruncit di setiap daerah.

“Pemborong dan peruncit yang dilantik merupakan pemegang mini stok hendaklah memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tinjauan Mesra Pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali di sini hari ini.

Beliau berkata DDR dan DDW terbabit boleh menambah bekalan barang kawalan melebihi 30 peratus daripada had simpanan sedia ada yang dibenarkan dalam tempoh bencana dan pengguna tidak perlu resah dengan membuat pembelian dalam jumlah yang banyak kerana keperluan asas seperti makanan sentiasa mencukupi.

“KPDN akan mengambil tindakan yang relevan bagi memastikan bekalan barangan kawalan dan keperluan asas sentiasa berada dalam pasaran selain mengawal harga barang sepanjang musim banjir,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan