BELANJAWAN 2025 > BERITA

Taufan Kristine: TUDM Terbangkan Bekalan Khemah Ke Kawasan Bencana Di Bicol

28/10/2024 09:27 PM

LABUAN, 28 Okt (Bernama) -- Helikopter EC 725 AP milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari No 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan meneruskan hari kedua misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) ke Legazpi City di wilayah Bicol, Filipina yang terjejas akibat Taufan Kristine.

TUDM dalam kenyataan kepada Bernama malam ini memaklumkan misi itu membabitkan penerbangan membawa 1.3 tan kanvas tarpal untuk khemah sementara, dari Pangkalan Udara Villamor di Bandar Pasay ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bicol.

Menurut kenyataan itu misi berjalan lancar pada sebelah pagi berikutan cuaca baik namun jarak penglihatan kemudian terjejas akibat jerebu dan angin kencang yang turut menjejaskan penerbangan. 

“Walaupun berdepan dengan cabaran tersebut, kemahiran dan pengalaman kru EC 725 AP membolehkan misi diselesaikan dengan jayanya,” menurut kenyataan itu. 

TUDM memaklumkan penerbangan dikendalikan oleh Mejar Aslam Hariri bersama pembantu juruterbang Kepten Fikry dengan dibantu seorang ‘quartermaster’ udara, tiga kru teknikal dan seorang anggota Pasukan Khas TUDM (PASKAU).

Sementara itu, pasukan TUDM dan rakan sejawat dari Tentera Udara Republik Singapura (RSAF) serta Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB) menerima kunjungan Ketua Staf Angkatan Bersenjata Filipina General Romeo Saturnino Brawner Jr melawat semasa tugasan HDAR mereka hari ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan