MELAKA, 29 Okt (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM83.76 juta bagi melaksanakan program bas henti-henti di Melaka, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata peruntukan berkenaan diberikan kepada syarikat pengendali swasta secara kontrak lima tahun, bagi memastikan perkhidmatan lebih terjamin kepada rakyat.
"Di Melaka ini, kita ada 51 bas yang akan beroperasi setiap hari dengan pelbagai laluan merentasi empat kawasan pihak berkuasa tempatan dan kontrak diberikan kepada pengendali ini selama lima tahun.
"Jadi untuk tempoh lima tahun, pengendali sama, kontrak sama dan ia memberikan satu kepastian kepada mereka (pengendali) supaya memastikan perkhidmatan ini dijalankan dengan baik dengan lancar dan tanpa apa-apa gangguan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti BAS.MY Melaka oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Kampung Morten di sini hari ini.
Loke berkata peruntukan berkenaan merupakan sebahagian daripada bentuk subsidi diberikan kepada rakyat bagi meringankan beban hidup mereka terutama berkaitan aspek pengangkutan.
"Ini adalah suatu perkhidmatan penting dan walaupun melibatkan peruntukan yang besar tetapi ini sesuatu yang wajib disediakan (oleh kerajaan) kerana tanpa kerajaan membantu, mungkin kebanyakan negeri ini tak ada bas berhenti-henti akan beroperasi.
"Jadi kita membuat program ini demi memastikan supaya ada alternatif kepada orang ramai (kerana) ada golongan yang memerlukan bas ini untuk kegunaan harian mereka seperti warga emas dan juga pelajar," katanya.
Pengguna BAS.MY Melaka warganegara Malaysia turut ditawarkan kemudahan Pas Perjalanan Tanpa Had melalui langganan pas bernilai RM50 untuk perjalanan selama 30 hari.
Tambang percuma turut diberikan kepda golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pelajar sekolah menerusi Pas Konsesi BAS.MY.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial