IPOH, 29 Okt (Bernama) -- Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) merupakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di negara ini yang menyediakan Strategi Pembanterasan Rasuah Majlis Bandaraya Ipoh (ICCACS).
Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin @Md Daud berkata inisiatif ini selaras dengan pelancaran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi penekanan pada keberkesanan pencegahan rasuah dan peningkatan tatakelola serta integriti dalam perkhidmatan awam.
Rumaizi berharap semua warga kerja MBI akan komited dalam menyokong aspirasi ini untuk menjadikan Malaysia negara yang bebas rasuah.
"ICCACS dirangka dengan visi menjadikan Majlis Bandaraya Ipoh sebagai sebuah organisasi yang unggul melalui pengamalan tatakelola yang cemerlang, berintegriti dan bebas rasuah," katanya dalam kenyataan dikeluarkan MBI hari ini.
Rumaizi berkata bahawa misi ICCACS adalah untuk memperkasakan kualiti perkhidmatan Majlis Bandaraya Ipoh dengan menerapkan amalan tatakelola yang terbaik dan budaya kerja berintegriti. Ini akan dilaksanakan berdasarkan enam teras strategik yang merangkumi tatakelola, pengurusan khidmat, perkhidmatan, perancangan dan pembangunan bandaraya, kewangan, serta perolehan.
Beliau berkata sebanyak 77 substrategik telah dibangunkan oleh ahli-ahli jawatankuasa yang perlu dilaksanakan dalam usaha untuk mencapai matlamat ICCACS.
"Pelbagai aktiviti telah dirancang dan dilaksanakan oleh pengurusan pihak MBI. MBI juga dikenali sebagai satu daripada PBT yang dikenali dengan tahap integriti yang tinggi dan bukan popular kerana rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
"Perlu difahami bahawa salah guna kuasa pula berlaku apabila seseorang individu menggunakan kedudukannya dalam membuat keputusan di mana dia, saudara atau sekutunya mempunyai kepentingan," katanya.
Rumaizi berkata sebarang bentuk ketirisan wang awam yang disebabkan oleh perlakuan rasuah akan dihentikan serta-merta dan tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil dan tidak sesekali akan berkompromi dengan pelaku.
MBI memaklumkan ICCACS telah dilancarkan oleh Rumaizi di Dewan Mesyuarat MBI hari ini yang turut dihadiri Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak Ahmad Sabri Mohamed dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Mohd Azraie Harun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial