GEORGE TOWN, 29 Okt (Bernama) -- Pulau Pinang hari ini mengalu-alukan penerbangan terus sulung AirAsia dari Shenzhen, China yang menandakan satu kejayaan dalam pembangunan pelancongan negeri itu.
Penerbangan tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzhen Bao'an pada 3.40 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada 8.53 pagi.
Manakala penerbangan pulang dari Pulau Pinang akan berlepas pada 10.45 malam dan tiba di Shenzhen pada 2.35 pagi keesokan harinya.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Wong Hon Wai berkata pengembangan laluan ini bukan sahaja mengukuhkan rangkaian penerbangan antarabangsa Pulau Pinang tetapi juga mewujudkan jambatan baharu pertukaran perdagangan dan budaya di antara Pulau Pinang, Shenzhen dan wilayah Greater Bay Area (Guangdong, Hong Kong, Macao, Guangzhou, Shenzhen dan Zhuhai).
"Penduduk yang padat dan kuasa beli yang kukuh di Shenzhen memberikan peluang berharga untuk sektor pelancongan dan peruncitan di Pulau Pinang."
"Sumber pelancongan yang kaya dan persekitaran pelaburan yang menggalakkan di Pulau Pinang akan melengkapkan lagi kekuatan ekonomi Shenzhen yang teguh, menjadikan penerbangan terus baharu ini sebagai pemangkin peningkatan kerjasama di antara kedua-dua wilayah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada waktu ketibaan penerbangan sulung Shenzhen di sini hari ini.
Laluan terus baharu itu akan beroperasi empat kali seminggu dari Shenzhen pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Sabtu manakala penerbangan dari Pulau Pinang ke Shenzhen pula pada Selasa, Khamis, Sabtu dan Ahad.
Wong berkata, menurut data dari Guangdong Provincial People's Government Office (Mei 2024), wilayah Greater Bay Area yang merangkumi bandar seperti Hong Kong, Macau, Guangzhou, Shenzhen dan Zhuhai mempunyai populasi seramai 86 juta orang dan menyumbang lebih 14 trilion yuan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China, kira-kira 11 peratus daripada jumlah keseluruhan KDNK negara itu.
Beliau juga menekankan Shenzhen dan Pulau Pinang adalah pusat ekonomi yang berkembang maju dengan potensi perniagaan dan pelaburan yang luas.
Shenzhen yang dikenali sebagai Lembah Silikon China, menempatkan beberapa syarikat gergasi teknologi Fortune 500 selain merupakan hab utama bagi industri emas dan barang kemas di China.
Sementara itu, Pulau Pinang diiktiraf sebagai pengeksport elektronik dan semikonduktor terbesar keenam di dunia yang memberikannya gelaran sebagai "Lembah Silikon Timur".
Negeri itu juga menyumbang 80 peratus daripada eksport emas dan barang kemas Malaysia yang memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan barang kemas global.
"Ketika lebih banyak penerbangan langsung dibuka di antara Shenzhen dan Pulau Pinang, pertukaran antara komuniti perniagaan, pelabur dan usahawan dari kedua-dua kawasan akan menjadi lebih kerap.
"Ini bukan sahaja akan merangsang kemakmuran ekonomi bersama tetapi juga mengeratkan persahabatan dan kerjasama di antara kedua-dua bandar," katanya.
Menurut Wong laluan baharu ini akan meningkatkan kebolehcapaian, membolehkan pelancong dari seluruh dunia meneroka pelbagai landskap, masakan dan budaya kedua-dua kawasan.
Menerusi 208 penerbangan mingguan, Wong menggambarkan AirAsia sebagai tiang utama rangkaian penerbangan Pulau Pinang selain memainkan peranan penting dalam menjadikan negeri itu sebagai hab pelancongan dan perniagaan antarabangsa.
Beliau berkata laluan AirAsia menyumbang hampir satu pertiga daripada 640 penerbangan mingguan di Pulau Pinang yang memberi sumbangan signifikan kepada pertumbuhan rangkaian penerbangan.
Pada waktu ini, Pulau Pinang mempunyai penerbangan terus ke 16 bandar antarabangsa iaitu Guangzhou, Xiamen, Hong Kong, Dubai, Singapura, Bangkok, Phuket, Medan, Jakarta, Surabaya, Banda Aceh, Taipei, Ho Chi Minh City, Shanghai, Haikou (penerbangan sewa) dan Shenzhen.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial