KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kerajaan berharap keanggotaan Malaysia sebagai negara rakan BRICS akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan peningkatan eksport bagi tempoh jangka masa panjang, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata Malaysia akan memainkan peranan dalam mengukuhkan rantaian bekalan global terutama dalam sektor penting seperti semikonduktor serta sektor lain yang strategik.
“Kita telah menubuhkan keyakinan anggota BRICS terhadap kepimipinan negara.
"Secara kumulatif dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) BRICS pada masa ini berjumlah lebih kurang 26 peratus daripada KDNK dunia, hampir sama dengan kekuatan ekonomi negara Kumpulan Tujuh (G7),” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Amirudin Shari (PH-Gombak) mengenai kesan penerimaan Malaysia sebagai negara rakan BRICS.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul menegaskan Malaysia berpendirian jelas untuk tidak mengambil kesempatan terhadap konflik perdagangan antarabangsa.
"Malaysia sentiasa berpegang pada dasar ‘tidak bersekutu’ dengan mana-mana negara kuasa ekonomi dalam menangani isu-isu antarabangsa termasuk perang perdagangan melibatkan Amerika Syarikat (AS), China dan Rusia.
"Bagi memastikan negara tidak tersepit dalam kancah peperangan perdagangan di kalangan negara-negara kuasa ekonomi yang maju, kerajaan akan terus berusaha untuk mengukuhkan lagi hubungan diplomatik dan diplomasi perdagangan dengan semua negara," katanya.
Beliau berkata kerajaan akan terus mengukuhkan hubungan diplomatik dengan mengekalkan hubungan perdagangan yang positif dengan semua rakan dagang termasuk AS, China dan Rusia dan negara dagang bukan tradisional.
“Malaysia sebagai sebuah negara terbuka dari segi perdagangan sentiasa pegang pendekatan ekonomi terbuka dan dasar mesra, kita nak jadi pragmatik dan menyokong iklim perdagangan serta pelaburan yang kondusif," kata Tengku Zafrul.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial