BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pemilik Facebook, Meta, Berdepan Saman US$2.8 Juta Di Jepun Akibat Iklan Palsu

29/10/2024 06:41 PM

OSAKA, 29 Okt (Bernama-Kyodo) -- Pemilik Facebook dan Instagram, Meta Platforms Inc., berdepan tuntutan saman baharu di Jepun pada Selasa berhubung iklan yang secara penipuan mempromosikan pelaburan menggunakan sokongan selebriti palsu, dengan 30 plaintif menuntut ganti rugi berjumlah 435 juta yen (US$2.8 juta).

Gergasi teknologi AS dan cawangan Jepunnya  didakwa gagal mengambil langkah mencukupi untuk mencegah penipuan itu, menurut aduan plaintif. Tuntutan ganti rugi itu difailkan di mahkamah daerah di Osaka, Kobe, Yokohama, Chiba dan Saitama.

Menurut laporan berita Kyodo, antara nama yang digunakan dalam iklan itu termasuk usahawan Jepun Yusaku Maezawa, pengasas peruncit fesyen dalam talian Zozo Inc., yang mengembara ke Stesen Angkasa Antarabangsa menaiki kapal angkasa Rusia pada 2021.

Plaintif melihat iklan palsu itu sebelum diarahkan untuk memindahkan wang ke akaun pelaburan yang ditetapkan.

Mereka berhujah Meta mempunyai kewajipan untuk menyiasat kandungan iklan dan tidak membenarkannya disiarkan di media sosial jika risiko bahaya kepada pengguna dapat dijangkakan.

Maezawa dan seorang lagi usahawan, Takafumi Horie,meminta agar iklan palsu itu dipadamkan, tetapi Meta "mengabaikannya dan menyebabkan lebih banyak kerugian," kata Kusuo Tsuneoka, seorang peguam yang mewakili plaintif.

Tsuneoka memberitahu sidang akhbar di Chiba, dekat Tokyo, bahawa pasukan peguam sedang mempertimbangkan untuk memfailkan lebih banyak saman, dengan berkata, "Jika lebih ramai orang bersuara, kita akan mempunyai lebih banyak peraturan terhadap iklan palsu. Kami berharap individu yang terjejas akan menghubungi kami."

Meta disaman awal tahun ini dalam kes serupa yang difailkan di Kobe oleh sekumpulan empat individu. Syarikat itu kini sedang berusaha untuk membatalkan tuntutan ganti rugi berkenaan.

-- BERNAMA-KYODO

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan