BELANJAWAN 2025 > BERITA

NRES Tidak Berhasrat Bangunkan SOP Khusus Berkaitan Pengeksportan REE

29/10/2024 06:53 PM

PUTRAJAYA, 29 Okt (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) pada masa ini tidak berhasrat untuk membangunkan prosedur operasi standard (SOP) khusus berkaitan pengeksportan unsur nadir bumi (REE) memandangkan prosedur yang dilaksanakan ketika ini telah memadai.

Susulan gesaan supaya kerajaan Persekutuan segerakan SOP untuk eksplorasi REE, NRES dalam kenyataan hari ini  menegaskan bahawa aspek eksplorasi REE adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa negeri. 

"Kementerian sebelum ini telah menyediakan SOP perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Malaysia dan mengedarkannya kepada kerajaan negeri melalui surat bertarikh 20 Dis 2023. 

"SOP tersebut merangkumi aspek praperlombongan, semasa perlombongan dan pascaperlombongan termasuk aspek pemuliharaan kawasan bekas lombong dan pengeksportan. Walau bagaimanapun, Kementerian dimaklumkan bahawa pemakaian SOP tersebut masih dalam pertimbangan kerajaan Kedah," menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut NRES melalui surat tersebut turut dimaklumkan ialah pelaksanaan moratorium aktiviti pengeksportan mentah REE sebagai inisiatif bagi membangunkan industri di peringkat pertengahan.

NRES turut menjelaskan bahawa lantanida merupakan sekumpulan 15 unsur yang dikategorikan sebagai REE ekoran laporan media mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tentang dakwaan ada pihak mengisytiharkan REE sebagai lantanida dan dieksport secara haram.

"Mengikut rekod Jabatan Mineral dan Geosains Kedah/Perlis/ Pulau Pinang (JMGKPP), setakat ini tiada syarikat yang mendapat kelulusan dengan menggunakan istilah lantanida di Kedah," menurut kenyataan itu.

NRES memaklumkan bagi Kedah, eksplorasi REE merupakan aktiviti yang dikawal di bawah Seksyen 41, Enakmen Mineral Kedah 2004 melalui Lesen Mencari Gali dan Lesen Menjelajah.

Menurut kenyataan itu pada masa ini penggerak projek perintis REE di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak yang dijalankan dengan kerjasama kerajaan Perak sebelum ini diberi kebenaran untuk mengeksport REE secara mentah dalam bentuk karbonat nadir bumi (REC). 

"Kebenaran pengeksportan yang diberikan kepada pihak syarikat pada masa ini telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri untuk satu tempoh yang munasabah. Selain daripada itu, Kementerian tidak pernah meluluskan apa-apa kebenaran eksport seperti didakwa," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan