BELANJAWAN 2025 > BERITA

KLTA Siap Sedia Hadapi Kepengerusian ASEAN Dan VMY 2026

29/10/2024 08:43 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Setiap program dan acara dirancang Persatuan Pelancongan Kuala Lumpur (KLTA) sepanjang tempoh dua tahun akan datang, akan memberi fokus kepada dua agenda utama negara iaitu kepengerusian ASEAN dan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026).

Presiden KLTA Syed Azhar Syed Nadzir berkata antara lain, pihaknya akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi mengenal pasti keperluan menaik taraf kawasan pelancongan di ibu negara, yang dijangka menerima lebih ramai pelancong sempena kedua-dua acara berkenaan. 

“Kita juga akan tambah baik produk sedia ada dan kita menggalakkan ahli kita yang ingin perkenalkan tarikan baharu seperti muzium dan sebagainya, kita akan bantu dari segi penyelarasan dengan kerajaan,  permohonan lesen dan sebagainya, termasuk dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui pada majlis KLTA Exclusive High Tea Industry Networking, yang dihadiri kira-kira 250 pemain industri.

Dalam perkembangan sama, Syed Azhar berkata pihaknya bercadang menganjurkan semula ‘Kuala Lumpur Tourism Award’, pada hujung tahun hadapan.

“Dalam perkara ini, kita sedang menyiapkan garis panduan standard pelancongan, yang akan dijadikan kayu pengukur kepada Kuala Lumpur Tourism Award ini, jadi garis panduan ini kita akan pasti siap sepenuhnya selewat-lewat Jun tahun hadapan,” katanya.

Mengenai pengisian program dan acara sepanjang kepengerusian ASEAN negara dan VMY 2026, beliau berkata pihaknya masih memperhalusinya dan mengharapkan ia dapat disiapkan sepenuhnya awal tahun hadapan.

“Setakat ini perancangan yang kita ada baru 30 hingga 40 peratus siap,” katanya.

Mengulas peruntukan kerajaan hampir RM550 juta menerusi Belanjawan 2025 bagi mempergiatkan promosi dan aktiviti pelancongan menjelang VMY2026, Syed Azhar menganggap ia peruntukan yang baik, namun mengharapkan lebih peruntukan disediakan bagi tujuan promosi VMY2026.

“Kita sangat mengalu-alukan jika ada geran daripada kerajaan, kita akan mohon dan akan bantu ahli untuk buat permohonan bagi geran-geran yang diperkenalkan,” katanya.

Mengenai kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing yang menggesa pengusaha hotel menyelaraskan semula masa daftar masuk dan keluar waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari, Syed Azhar berharap kerajaan dapat mengadakan lebih banyak sesi dialog mengenainya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan