KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sedang menjalankan empat siasatan antilambakan yang melibatkan produk-produk besi dan keluli serta plastik yang diimport dari China.
Kementerian menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen memaklumkan antara 2015 hingga 2023, kerajaan telah menguatkuasakan sembilan tindakan antilambakan bagi barangan import dari negara itu.
"Duti antilambakan merupakan salah satu remedi perdagangan yang diguna pakai oleh kerajaan bagi memastikan industri tempatan tidak terjejas akibat amalan perdagangan yang tidak adil oleh barangan import, iaitu pengenaan harga yang lebih rendah di Malaysia berbanding harga yang dijual di pasaran domestik negara pengeksport.
"Tindakan kerajaan ini adalah selaras dengan peraturan antarabangsa di bawah perjanjian-perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)," kata MITI.
Kementerian menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung polisi antilambakan sebagai alat untuk melindungi pasaran domestik hasil lambakan produk terutama dari China.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial