KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Pengangkutan awam negara seperti perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan kereta api terus menjadi pilihan utama orang ramai yang memanfaatkan cuti panjang sempena perayaan Deepavali untuk pulang ke kampung halaman.
Bagi mereka cabaran untuk mendapatkan tiket tidak menjadi halangan lebih-lebih lagi apabila mengenangkan perlu berdepan dengan kesesakan jalan raya jika memandu sendiri.
Pengawal keselamatan, Mageisan Krishnan, 48, yang baru menjalani pembedahan di kaki kanan akibat kencing manis turut memilih pengangkutan awam walaupun mempunyai kenderaan sendiri.
Ketika ditemui Bernama yang melakukan tinjauan di KL Sentral, bapa kepada tiga orang anak itu berkata beliau memilih kereta api untuk ke Johor Bahru, Johor untuk bercuti dan meraikan Deepavali.
“Saya sudah merancang nak pergi Johor Bahru untuk menyambut (Deepavali) di sana. Saya pilih pengangkutan awam kerana lebih mudah bagi saya yang sakit. Sebelum ini saya pernah memandu ke Pulau Pinang dan tersangkut dalam kesesakan hampir 10 jam.
“Naik kereta api ini lebih selesa, tandas dan makan ada disediakan. Untuk orang yang ada masalah kesihatan seperti saya lebih baik naik pengangkutan awam berbanding memandu sendiri,” katanya.
Seorang guru yang pertama kali menaiki pengangkutan awam untuk pulang merayakan Deepavali turut berkongsi keterujaannya kepada Bernama.
“Saya sengaja nak merasa pengalaman balik kampung menaiki pengangkutan awam. Sebelum ini biasanya naik kereta, ini pertama kali naik pengangkutan awam rasa sangat teruja,” kata Elizabeth Ramayah, 50.
Jurutera perisian komputer yang hanya mahu dikenali sebagai Nandakumara @ Nick, 28, pula berkata untuk pulang ke Ipoh bagi merayakan Deepavali, beliau telah membuat persiapan awal dengan membeli tiket ETS sejak dua bulan lepas.
“Saya beli awal untuk mengelakkan kehabisan tiket dan terlepas meraikan Deepavali di kampung…tapi sekarang ini saya panik sedikit sebab tiket untuk balik ke Kuala Lumpur saya belum beli lagi. Harap masih ada tiket untuk Isnin ini,” katanya.
Sementara itu, pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Syahmi Aiman, 19, turut memilih menaiki pengangkutan awam untuk pulang ke kampung di Gemas, Negeri Sembilan bagi mengelakkan daripada tersangkut dalam kesesakan jalan raya.
Deepavali yang juga dikenali sebagai pesta cahaya akan disambut esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial