BELANJAWAN 2025 > BERITA

Cadangan Kaji Kebolehlaksanaan Tenaga Nuklear Belum Muktamad - Fadillah

30/10/2024 10:36 PM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Cadangan untuk melaksanakan kajian kebolehlaksanaan penggunaan tenaga nuklear di Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha peralihan tenaga negara, belum dimuktamadkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata sebahagian kajian yang akan dibuat adalah mengenai kebolehlaksanaan, dengan di peringkat awal mengkaji sama ada tenaga nuklear sesuai atau tidak dilaksanakan di Malaysia.

“(Pelaksanaan kajian) belum diputuskan lagi, hanya cadangan untuk dibuat kajian,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Baru Hanan Tower di Ibu Pejabat Hanan, Kundang Industrial Park, di Rawang di sini hari ini.

 Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai peruntukan lebih RM300 juta di bawah Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, pada 18 Okt lepas.

Anwar berkata peruntukan itu bagi memenuhi objektif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) ke arah mencapai sasaran gas rumah hijau sifar bersih seawal 2050.

Sementara itu, mengenai projek Ladang Solar Terapung Hidro Hibrid Kenyir di Terengganu, Fadillah berkata ia adalah projek rintis yang dilaksanakan melibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Petronas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan