BELANJAWAN 2025 > BERITA

DB40 JPA Bantu Hampir 7,000 Pelajar B40 Ke Menara Gading

30/10/2024 09:19 PM

KUALA NERUS, 30 Okt (Bernama) -- Sebanyak 6,624 pelajar cemerlang di seluruh negara menerima penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi Program Dermasiswa B40 (DB40) tahun ini, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Beliau berkata DB40 adalah program yang dilaksanakan untuk membantu pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah iaitu golongan B40 melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di Universiti Awam (UA) dan Politeknik.

“Memang negara kita masih dibelenggu isu kemiskinan dan ramai anak B40 yang tidak dapat melanjutkan pelajaran akibat isu kemiskinan. Jadi, JPA buat dermasiswa ini bagi menampung perbelanjaan pengajian mereka. 

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan yang sentiasa membantu anak-anak ini menyambung pengajian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Bersama Pegawai Awam Persekutuan Negeri Terengganu di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini. 

Beliau berkata komitmen itu selaras dengan elemen Ihsan yang merupakan antara tonggak dasar Malaysia MADANI selain nilai Empati Rakyat dalam Aspirasi H.E.M.A.T iaitu panduan oleh JPA kepada penjawat awam dalam melaksanakan tugas dan menyampaikan perkhidmatan bermutu kepada rakyat. 

H.E.M.A.T yang diperkenalkan Februari lepas antara lain menuntut penjawat awam sentiasa mendengar dan memahami permasalahan rakyat serta menumpukan kepada pelaksanaan inisiatif yang dapat memberikan kesejahteraan kepada rakyat dengan logo aspirasi berkenaan juga buat pertama kalinya menjadi tatapan umum setelah ia dilancarkan Wan Ahmad Dahlan dalam program berkenaan hari ini.

Seorang penerima DB40, Muhammad Khairul Iqwan Azmi, 18, berkata program itu bukan sahaja meringankan beban kewangannya, tetapi juga menjadi motivasi untuk pelajar Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Politeknik Kuala Terengganu berkenaan berusaha lebih gigih dalam pengajian. 

Anak bongsu daripada tiga beradik itu percaya, usaha kecilnya hari ini hasil bantuan DB40 berkenaan akan menjadi permulaan untuk mencipta kejayaan lebih besar pada masa hadapan. 

“Saya berazam untuk terus maju dalam akademik dan berusaha lebih gigih serta berdisiplin, kerana ia adalah cara untuk saya menghargai pemberian kerajaan ini,” katanya sambil menambah, ayahnya bekerja sendiri dengan purata pendapatan RM1,500 sebulan. 

Seorang lagi penerima dermasiswa, Iman Nur Aina Abdullah, 18, pula mengingatkan pelajar lain yang senasib dengannya untuk tidak menjadikan kemiskinan sebagai penghalang dalam mencari ilmu, sebaliknya perlu memanfaatkan segala peluang dan bantuan yang disediakan kerajaan. 

“Kita sebagai pelajar… percayalah kalau ada niat untuk belajar tu, di mana-mana pun akan ada jalan. Sebagai pelajar golongan B40, ia bukan halangan untuk kita belajar sedangkan banyak sebenarnya inisiatif termasuk DB40 daripada JPA ini,” kata pelajar tahun satu Diploma Perikanan di UMT itu.

Sementara itu, penerima tajaan Program Ijazah Dalam Negara (PIDN) JPA, S.P. Harishvaar Pillai, 22, pula berkata PIDN membezakannya dengan pemain industri sektor berkenaan kelak kerana ia boleh diceburi sesiapa sahaja tanpa kelayakan akademik yang bersesuaian. 

Pelajar tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Sains Akuakultur kelahiran Selangor itu berkata tajaan berkenaan banyak membantunya dari sudut kewangan dalam meneruskan pengajian bagi mencapai cita-cita untuk menjadi pengusaha sektor pertanian berkualiti dan berpengetahuan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan