BELANJAWAN 2025 > BERITA

KPM Siap Siaga Hadapi Monsun Timur Laut

01/11/2024 04:12 PM

KUANTAN, 1 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) memandang serius kebajikan dan keselamatan seluruh warga institusi pendidikan dan telah bersiap siaga melakukan persiapan awal mendepani banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku lebih awal kali ini. 

Ketua Setiausa KPM Datuk Ruji Ubi berkata kesiapsiagaan meliputi pelbagai aspek termasuk mewujudkan kefahaman impak bencana itu dalam kalangan pelajar dan warga sekolah sekali gus membantu mengurangkan risiko kerugian dihadapi membabitkan nyawa dan harta benda. 

Sehubungan itu, komuniti berkenaan menurut Ruji yang disifatkan sebagai barisan hadapan, perlu diberikan pengetahuan dan kemahiran secukupnya serta sumber yang mencukupi untuk mereka bertindak dengan lebih pantas apabila berhadapan situasi berkenaan. 

“Kesedaran dan penglibatan komuniti menjadi optik utama keberkesanan pengurusan dan pengurangan risiko bencana.

“Sebagai contoh, jika bencana berlaku dalam sekolah, sudah tentulah warga sekolah, guru, murid, pengawal keselamatan, pekerja kebersihan kantin perlu mempunyai pengetahuan dan kemahiran menangani situasi berlaku bagi mengurangkan risiko keberangkalian yang akan berlaku,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Kesiapsiagaan KPM Menghadapi Monsun Timur Laut 2024/2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Garuda di sini baru-baru ini. 

Ruji berkata kesejahteraan pendidikan bukan sahaja dilihat dari aspek penyediaan prasarana, kemudahan akses mahupun sokongan digitalisasi, tetapi juga perlu disokong dengan sikap kecaknaan terhadap sesuatu faktor semasa yang mempengaruhi persekitaran pendidikan itu sendiri. 

Justeru, beliau berkata Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 yang dilancarkan pada 3 Okt lepas berupaya menjadi paksi dan petunjuk kepada pengurusan risiko bencana yang mampan melalui teras strategi dan sasaran digariskan. 

“Pengurangan Risiko Bencana (DRR) ini merupakan satu intervensi bagi memastikan warga institusi pendidikan khususnya murid sentiasa bersedia menghadapi bencana. Murid diberikan pendedahan yang komprehensif tentang langkah-langkah menghadapi bencana, bagaimana melindungi diri dan ketika berlakunya bencana,” katanya. 

Tidak hanya persediaan ke arah itu, Ruji berkata semua warga sekolah juga perlu bersedia apabila institusi pendidikan mereka dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) dan beliau difahamkan, sebanyak 258 institusi pendidikan beroperasi sebagai PPS ketika Monsun Timur Laut 2023/2024.

Sehubungan itu, beliau menyeru warga sekolah untuk bersama-sama memupuk sikap bertanggungjawab dengan melibatkan diri sebagai sukarelawan bagi memberi bantuan dan kerjasama sewajarnya kepada mangsa yang ditempatkan di PPS serta agensi terlibat menguruskan PPS. 

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesiona­lisme) Shafruddin Ali Hussin berkata program Kesiapsiagaan KPM Menghadapi Monsun Timur Laut merupakan acara tahunan melibatkan 500 peserta terdiri daripada pelajar, guru, pelajar Institusi Pendidikan Guru serta agensi berkaitan pengurusan bencana. 

Beliau berkata program itu antaranya bertujuan menunjukkan optik keprihatinan kementerian terhadap keselamatan dan kebajikan warga KPM berkaitan bencana, mewujudkan kerjasama semua pihak dan meningkatkan kesiapsiagaan warga KPM menghadapi bencana. 

“Antara langkah kesiapsiagaan KPM menghadapi Monsun Timur Laut ialah mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana melibatkan agensi pengurus bencana seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Meteorologi (METMalaysia), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan.

“Selain itu, mengeluarkan Surat Pemakluman Berkaitan Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana Banjir dan Garis Panduan Pengurusan Banjir bertarikh 22 Okt kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan institusi pendidikan untuk mengambil langkah kesiapsiagaan,” katanya. 

Beliau berkata Jawatankuasa Task Force Bencana Banjir Monsun Timur Laut KPM turut ditubuhkan selain menyediakan perkhidmatan kaunseling, Smart Support Team (SST) dan Academic Support Team (AST).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan