BELANJAWAN 2025 > BERITA

Penang FC Bakal Gantikan Khidmat Akmal Rizal Dengan Jurulatih Baharu

01/11/2024 05:39 PM

GEORGE TOWN, 1 Nov (Bernama) -- Khidmat Ketua Jurulatih Penang FC Akmal Rizal Ahmad Rakhli bakal digantikan dengan jurulatih baharu sekali gus menamatkan khabar angin mengenai status beliau bersama skuad Harimau Kumbang sejak beberapa minggu lepas.

Lembaga Pengarah Penang FC menerusi kenyataan rasmi hari ini memaklumkan perkara berkenaan diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan pada 21 Okt lepas bagi membincangkan hala tuju pengurusan skuad Harimau Kumbang ekoran prestasi kurang memuaskan dalam Liga Super musim ini.

“Susulan daripada mesyuarat lembaga pengarah itu, satu keputusan telah dibuat untuk menggantikan ketua jurulatih Penang FC dengan jurulatih lebih berpengalaman dalam saingan Liga Super bagi meningkatkan prestasi serta persaingan pasukan. 

“Usaha dan dedikasi Akmal Rizal amat dihargai, dan memandangkan beliau masih mempunyai kontrak bersama Penang FC, beliau akan dikekalkan bagi meneraju pasukan lain di bawah Penang FC,” menurut kenyataan itu hari ini.

Lembaga pengarah memaklumkan beberapa calon jurulatih utama telah dikenal pasti, dan perbincangan bagi memuktamadkan kontrak bermula sejak 21 Okt.

Menurut kenyataan itu lagi, nama ketua jurulatih baharu yang akan mengemudi Penang FC bakal diumumkan sejurus selepas perkara dalam kontrak dimuktamadkan tidak lama lagi. 

Beliau berkata perkara itu telah dimaklumkan pihak kelab kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selaku pengelola liga yang memberikan kelulusan berhubung situasi interim berkenaan. 

Berikutan keputusan itu, Penang FC kini secara interim akan dikendalikan Penolong Ketua Jurulatih Mat Saiful Mohamad, sambil dibantu Pengarah Teknikal Merzagua Abderrazak.

Justeru, para pemain diharap akan memberikan sokongan penuh kepada kedua-dua individu terbabit dalam meneruskan saingan liga, selain turut mengucapkan terima kasih atas sokongan berterusan yang diberikan para penyokong terhadap pasukan berkenaan.

Terdahulu, status pengendali berusia 43 tahun itu menjadi tanda tanya sejak beberapa minggu lepas apabila terdapat khabar angin mengatakan khidmat beliau akan ditamatkan selepas skuad Harimau Kumbang gagal mempamerkan aksi memberangsangkan dalam beberapa perlawanan akhir-akhir ini. 

Spekulasi itu dikuatkan lagi apabila kelibat beliau tidak kelihatan ketika Penang FC dibelasah 0-4 oleh Sabah FC di Stadium Bandaraya pada 25 Okt lepas.

Kekalahan itu ialah yang ketiga berturut-turut dicatatkan Penang FC, dan selepas mengharungi 13 perlawanan, pasukan itu hanya menang dua kali, seri (lima) dan kalah (enam) sekali gus menjunam ke tangga ke-11 Liga Super apabila sekadar mengutip 11 mata.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan