KOTA KINABALU, 1 Nov (Bernama) -- Sabah sedia menjadi tuan rumah bagi penganjuran kejohanan bola baling peringkat kebangsaan bagi meningkatkan tahap sukan itu di negeri ini, kata Presiden Persatuan Bola Baling Sabah (SABHA) Datuk Awang Aslee Lakat.
Beliau berkata sambutan yang begitu menggalakkan pada Kejohanan Bola Baling Tertutup Sabah di sini hari ini membuktikan sukan itu mendapat tempat di hati pemain dan peminat sukan di negeri ini.
“Jika SABHA diberi peluang menganjurkan kejohanan bertaraf kebangsaan itu, sudah tentu kami bersedia untuk menjadi tuan rumah. Sabah mempunyai fasiliti yang mencukupi untuk penganjuran itu,” katanya dalam kenyataan sempena Kejohanan Bola Baling Tertutup Sabah di Kompleks Sukan Tun Adnan di sini hari ini.
Sebanyak 44 pasukan menyertai kejohanan yang berlangsung empat hari bermula hari ini dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan turut dihadiri Presiden Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF) Datuk Pandak Ahmad.
Awang Aslee yang juga Naib Presiden MAHF berkata kejohanan berkenaan akan dijadikan platform untuk memilih pemain berkaliber bagi mewakili Sabah ke Kejohanan Bola Baling Peringkat Kebangsaan yang dijadual diadakan di Kedah pada Disember ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial