SEPANG, 1 Nov (Bernama) -- Juara dunia dua kali Francesco Bagnaia mengekalkan momentum cemerlang untuk menguasai latihan rasmi MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia 2024 pada sebelah petang, di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini.
Bagnaia daripada Ducati Lenovo Team mencatat masa terpantas satu minit 57.679 saat (s) pada pusingan ke-16 untuk meninggalkan Jorge Martin daripada Prima Pramac Racing (1:57.729s) di tempat kedua, manakala Enea Bastianini daripada Ducati Lenovo Team di kedudukan ketiga (1:57.877s).
Mengulas mengenai latihan rasmi itu, Bagnaia berkata beliau gembira kerana berjaya bangkit daripada detik mencabar, berikutan masalah tayar belakang semasa latihan rasmi pagi tadi untuk menguasai kedudukan dan meneruskan penguasaan pada sebelah petang.
“Tetapi rentak (pada latihan rasmi) adalah baik dan perasaan saya juga baik. Saya memulakan latihan rasmi sebelah petang dalam situasi yang sangat teruk, kerana saya tahu penggunaan tayar belakang di litar ini satu isu besar. Penting untuk bermula dalam situasi yang buruk, ketinggalan dan cuba untuk kekal kompetitif, dan ia berjalan dengan sangat baik,” katanya.
Pada aksi latihan rasmi Moto2 pula, pelumba Sepanyol Manuel Gonzalez daripada Gresini Moto2 mencatat masa terpantas 2:05.576s.
Filip Salac daripada ELF Marc VDS Racing Team kedua terpantas (2:05.909s), dan Deniz Oncu daripada Red Bull KTM Ajo ketiga terpantas (2:05.944s).
Dua pelumba negara yang beraksi menerusi tiket peluang khas mewakili Petronas MIE Racing RW Muhammad Helmi Azman dan Khairul Idham Pawi gagal menampilkan prestasi cemerlang seperti yang diharapkan pada latihan rasmi pagi tadi apabila masing-masing kekal di kedudukan ke-29 (2:08.727s) dan terakhir (2:10.045s).
Sementara itu, meskipun menduduki tempat ke-13 pagi tadi, pelumba Moto3 yang mewakili CFMOTO Aspar Team David Alonso mencuri perhatian pada sebelah petang, apabila pelumba Sepanyol itu menamatkan saingan di kedudukan teratas dengan catatan masa 2:11.241s.
Adrian Fernandez daripada Leopard Racing kedua terpantas (2:11.457), manakala Taiyo Furusato daripada Honda Team Asia ketiga terpantas (2:11.707s).
MotoGP GP Malaysia 2024 akan diteruskan esok dengan saingan kelayakan, diikuti hari perlumbaan pada Ahad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial