Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 1 Nov (Bernama) -- Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn menggariskan tiga bidang tumpuan utama untuk meningkatkan hubungan ASEAN-China melalui pengukuhan kesalinghubungan dalam infrastruktur, transformasi digital dan rantaian bekalan, serta pertukaran antara rakyat.
Dalam ucaptamanya pada Forum Jakarta mengenai Hubungan ASEAN-China pada Jumaat, beliau menekankan peranan penting infrastruktur mampan dalam mempromosikan kesalinghubungan dan perdagangan serantau.
“Infrastruktur berfungsi sebagai arteri penting menghubungkan rantau kita,” katanya, sambil menunjukkan potensi peluang baharu dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pelancongan.
Kao berkata ASEAN sedang mengemas kini Projek "Initial Rolling Priority Pipeline of Infrastructure" bagi memenuhi keperluan kesalinghubungan dan melihat kerjasama dengan China melalui Inisiatif Jalur dan Laluan sebagai peluang besar.
Sejak 2009, China telah menjadi rakan dagang terbesar ASEAN dengan perdagangan meningkat daripada US$178 bilion kepada US$696.7 bilion pada 2023.
Pelaburan China di ASEAN juga telah meningkat dengan ketara, daripada US$1.2 bilion kepada US$17.3 bilion dalam tempoh dua dekad lepas, katanya.
Mengenai transformasi digital, Kao menyifatkannya sebagai trend penentu bagi kedua-dua rantau, dengan jangkaan ekonomi digital ASEAN mencapai US$1 trilion menjelang 2030.
“Dengan kejayaan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital, kita boleh menggandakan jumlah itu kepada US$2 trilion,” katanya, sambil menekankan keperluan menaik taraf Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China bagi memberi keutamaan kepada ekonomi digital.
Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh rantaian bekalan untuk ketahanan ekonomi dan menyatakan keyakinan terhadap pemeteraian awal penambahbaikan FTA ASEAN-China 3.0 bagi memperkukuh kesalinghubungan rantaian bekalan.
Kao percaya bahawa inisiatif seperti laman sesawang Pelancongan Asia Tenggara China, yang bertujuan menarik pelancong China ke ASEAN, memerlukan sokongan bagi menggalakkan hubungan antara rakyat melalui pertukaran budaya dan pelancongan.
Ketibaan pelancong China ke ASEAN belum kembali ke tahap tinggi prapandemik iaitu 32.2 juta pelawat pada 2019.
Bagaimanapun, terdapat pemulihan ketara dengan ketibaan pelancong meningkat kepada 10.6 juta pada 2023, berbanding hanya 1.1 juta pada 2022, katanya.
Forum Jakarta mengenai Hubungan ASEAN-China dianjurkan oleh Misi China ke ASEAN dan Misi Tetap Malaysia ke ASEAN, dengan kerjasama Komuniti Dasar Luar Indonesia (FPCI).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial