BELANJAWAN 2025 > BERITA

Dasar Luar Malaysia Kekal Meskipun Jadi Rakan BRICS - Mohamad Alamin

06/11/2024 01:19 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Dasar Luar Negara yang diamalkan Malaysia kekal bebas, berprinsip dan pragmatik, walaupun sudah menjadi rakan dalam gabungan BRICS baru-baru ini, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin.

Beliau berkata Malaysia sebagai negara yang berdaulat, bebas untuk memilih apa juga organisasi yang ingin disertainya, tetapi mestilah berdasarkan pertimbangan yang terperinci dan mampu memberi manfaat kepada negara.

Selain itu, Mohamad berkata penyertaan Malaysia dalam BRICS adalah selari dengan pendekatan dasar luar iaitu mendukung multilateralisme atau hubungan pelbagai hala bagi menangani cabaran geopolitik dan juga ekonomi global.

“Kita sentiasa komited dalam usaha mengukuhkan hubungan dan kerjasama dengan negara asing, yang mampu untuk memberi manfaat dari segi pembangunan ekonomi, pelaburan serta hubungan dua hala dengan mana-mana negara sekalipun.

“Kita juga mendukung keluhuran undang-undang antarabangsa termasuk piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya menjawab soalan tambahan V. Ganabatirau (PH-Klang) berhubung jaminan urusan negara seperti politik, ekonomi dan kedaulatan negara tidak dicampuri oleh negara asing selepas Malaysia menyertai BRICS, pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad berkata keterlibatan Malaysia dalam mana-mana organisasi pada peringkat antarabangsa akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan bergerak secara aktif seterusnya memberi impak yang baik kepada negara.

Beliau berkata hal ini terbukti menerusi keanggotaan negara dalam PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan sebagainya.

“Itu peranan kita. Apatah lagi kita akan menjadi pengerusi ASEAN pada tahun hadapan … kita akan mainkan peranan yang hebat pada peringkat antarabangsa. Pastinya dasar luar negara kita tidak akan berubah, bahkan kita akan membuka peluang-peluang baharu apabila menyertai BRICS,” katanya.

Menjawab soalan asal Ganabatirau mengenai usaha kerajaan dalam memastikan organisasi BRICS tidak mempengaruhi urusan domestik dan politik negara, Mohamad berkata BRICS sebagai organisasi yang berlandaskan pembangunan dan kerjasama ekonomi mengamalkan dasar tidak mempengaruhi dan mencampuri hal dalaman negara-negara anggotanya.

“BRICS ditubuhkan berdasarkan prinsip muafakat dan memberi penekanan terhadap kedaulatan dan integriti wilayah negara anggota.

“Negara-negara BRICS mengutamakan prinsip saling menghormati, kesaksamaan dan keterangkuman dalam proses kerja dan segala keputusan dibuat berdasarkan konsensus,” katanya.

Selain itu, Mohamad berkata Malaysia yang diterima sebagai negara rakan BRICS adalah selari dengan usaha memacu ekonomi negara untuk berkembang dengan lebih pesat, stabil dan berdaya tahan.

“Dalam hal ini, ia memberikan kesan positif kepada kemajuan dan kesejahteraan sosioekonomi rakyat kerana berupaya membuka peluang pasaran baharu untuk perdagangan negara, meningkatkan perdagangan dan pelaburan langsung asing dengan negara-negara anggota BRICS sekali gus mengimbangi kebergantungan negara kepada pasaran tradisional sedia ada,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan