BELANJAWAN 2025 > BERITA

Isu RM94 Juta: Speaker Minta Ahli Parlimen Pendang Kemuka Bukti Atau Memohon Maaf

06/11/2024 02:52 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul hari ini meminta Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) untuk mengemukakan bukti berhubung dakwaan penemuan wang tunai sebanyak RM94 juta di kediaman seorang bekas menteri, atau membuat permohonan maaf.

Beliau mengeluarkan arahan tersebut selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) membentangkan usul untuk merujuk Ahli Parlimen itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen atas kenyataan bersifat tuduhan yang dianggap mengelirukan dewan.

“Saya tidak pasti sama ada Pendang ada bukti-bukti lain selain apa dinyatakan seperti termaktub dalam surat ditulis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada saya. Oleh kerana Pendang tiada di sini, saya mohon Ketua Whip untuk maklumkan kepada Pendang, bahawa ada dua pilihan.

“Pilihan pertama, dia hadir untuk menjelaskan, sekiranya ada bukti, menunjukkan ini adalah bukti dan tunjukkan SPRM juga salah serta siasatan telah dibuat. Sekiranya tidak, memohon maaf sahaja sudah memadai. Saya rasa itu adalah yang terbaik, terpulang kepada dia,” katanya selepas selesai soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) dan Ahli Parlimen Jelutong akan bersama-sama dengannya untuk mencari penyelesaian terbaik dan sebarang keputusan akan dimaklumkan kepada dewan kemudian.

Johari berkata salinan kenyataan yang diterima daripada SPRM menjelaskan bahawa Ketua Pesuruhjaya Tan Sri Azam Baki, tidak pernah membuat sebarang kenyataan berhubung penemuan wang tunai RM94 juta di kediaman bekas menteri seperti yang dinyatakan oleh Ahli Parlimen Pendang.

“Saya meneliti hansard pada 4 Nov lalu dan mendapati bahawa Pendang mungkin telah terkhilaf apabila menyebut perkara tersebut sebanyak tiga kali,” katanya.

Johari menegaskan beliau akan menggunakan kedudukannya sebaik mungkin berpandukan Perlembagaan dan Peraturan Mesyuarat dalam membuat keputusan.

Beliau turut menasihatkan semua Ahli Parlimen agar berhati-hati dengan fakta ketika mengeluarkan kenyataan bagi mengelakkan ia dianggap sebagai tuduhan.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang juga Ketua Whip PN, mencelah dan memohon dewan menetapkan satu tarikh bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Chong Zhemin (PH-Kampar) mencadangkan agar Ahli Parlimen Pendang digantung, manakala Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) meminta Speaker mengenakan hukuman tegas terhadap Awang sebagai pengajaran kepada Ahli Parlimen yang lain.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan