BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerajaan Tingkat Usaha Tambah Baik Proses Pengeluaran Sijil Halal - Zulkifli

06/11/2024 04:16 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Kerajaan komited untuk memperbaiki proses pengeluaran sijil halal secara berterusan, yang kini dapat dipendekkan kepada 30 hari berbanding beberapa bulan sebelumnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mempercepatkan proses ini, termasuk meningkatkan bilangan juruaudit halal serta membangunkan sistem teknologi baru.

"Statistik menunjukkan peningkatan dalam jumlah permohonan dan kelulusan sijil halal. Antara inisiatif yang dijalankan adalah dengan menambah juruaudit halal untuk mempercepatkan proses ini.

"Selain itu, kami juga sedang membangunkan sistem MYeHALAL 2.0 yang akan memanfaatkan teknologi untuk mempercepatkan kelulusan," katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mengenai langkah kerajaan memastikan proses pensijilan halal telus dan tiada kelewatan sehingga menyebabkan peniaga atau pemilik premis tidak memohon sijil halal kerana proses yang panjang.

Mengenai pemantauan sijil halal, Zulkifli berkata aspek itu dijalankan dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan dan data menunjukkan ia berlaku secara berterusan sekali gus memberikan keyakinan kepada pengguna bahawa halal JAKIM melibatkan proses yang menyeluruh.

Menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mengenai penggunaan kutipan fi pensijilan halal untuk membantu peniaga kecil dan sederhana, Zulkifli berkata pihaknya mengadakan banyak program penerangan dan bimbingan, termasuk Halal On Track dan klinik halal untuk memudahkan peniaga mendapatkan sijil halal.

"Kami juga bekerjasama dengan pelbagai industri termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk membantu peniaga di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) memperoleh sijil halal," katanya.

Zulkifli berkata kutipan fi pada 2023 mencapai RM12.15 juta dan jumlah yang berjaya dikutip dari 2012 hingga tahun lepas melebihi RM80 juta, sekali gus menunjukkan perkembangan baik.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan