BELANJAWAN 2025 > BERITA

MTL: JKM Pahang Hantar Lebih 224 Tan Makanan Kering Ke 165 Pangkalan Hadapan

06/11/2024 05:19 PM

KUANTAN, 6 Nov (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang menghantar lebih 224 tan makanan kering ke 165 pangkalan hadapan di seluruh negeri ini sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) atau musim tengkujuh.

Pengarahnya Khairul Amri Ahmad berkata agihan makanan kering melibatkan perbelanjaan RM3.3 juta itu boleh menampung keperluan selama tiga hingga 14 hari bergantung kepada lokasi pangkalan hadapan.

"Misalnya, bagi kawasan yang dijangka terputus hubungan seperti Pulau Tioman di Rompin, tempoh kegunaan barang yang dihantar untuk 10 hari manakala bagi kawasan Ulu Tembeling di Jerantut bekalan yang dihantar adalah untuk 14 hari," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pangkalan hadapan merupakan tempat bagi menyimpan makanan kering yang diagihkan iaitu beras, gula, kari ayam, sardin, kopi, teh, garam, biskut dan minyak masak dengan Kuantan mempunyai 19 lokasi, Maran (12), Temerloh (33), Bera (12), Jerantut (19), Lipis (18), Raub (11), Bentong (lapan) serta Cameron Highlands (tiga) selain Pekan dan Rompin masing-masing 15.

Selain bantuan bekalan makanan, beliau berkata JKM juga telah membuat agihan bekalan barangan asas lain ke semua stor bencana daerah antaranya tikar, selimut, tuala mandi, lampin pakai buang dewasa, kain batik dan pelekat, kit kebersihan, kit makanan dan minuman ringan serta makanan sedia untuk dimakan.

Sementara itu, Khairul Amri memaklumkan pihaknya telah melaksanakan tiga siri Bengkel Pemantapan Pengurusan Bencana melibatkan kakitangan JKM negeri dan daerah serta penyelaras bencana daerah bagi persiapan ilmu pengetahuan, mental dan fizikal menghadapi MTL.

"Selain itu, JKM juga membuat dua Siri Latihan Simulasi Pengurusan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kepada pengerusi PPS yang terdiri daripada guru, ketua kampung, penghulu dan agensi bencana yang terlibat," katanya dan menambah sebanyak 861 PPS didaftarkan bagi menempatkan mangsa banjir di Pahang. 

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip memaklumkan musim tengkujuh di Malaysia bermula semalam dan berterusan hingga Mac tahun depan.

Dalam tempoh berkenaan lima hingga tujuh episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan