BELANJAWAN 2025 > BERITA

DPLB 2030, Pelan Strategik KKDW 2021 Bantu Usaha Kurangkan Migrasi Luar Bandar

06/11/2024 07:02 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Pelbagai usaha dan inisiatif yang digariskan melalui Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030 serta Pelan Strategik Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2021 mampu mengurangkan perpindahan masyarakat luar bandar ke bandar.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dasar dan pelan itu, yang memfokus kepada strategi bagi memastikan masyarakat luar bandar mendapat akses infrastruktur asas serta kemudahan sosial terbaik setanding di bandar, menjadi langkah mitigasi perpindahan masyarakat luar bandar.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dibawa ke luar bandar juga adalah langkah bagi memperkukuh serta memantapkan golongan belia di kawasan tersebut.

“Survei Migrasi 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan penurunan trend migrasi dalam negeri dari luar bandar ke bandar iaitu daripada 3.0 peratus pada 2020 kepada 2.4 peratus pada 2022.

“Program TeknoUsahawan Tempatan diwujudkan supaya mereka dapat berusaha meningkatkan taraf ekonomi selain membangunkan ekonomi luar bandar melalui pelaksanaan program keusahawanan berasaskan pendigitalan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 (Belanjawan 2025) bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad Zahid berkata bagi perancangan jangka panjang, projek luar bandar khususnya di lokasi yang terlibat dalam jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembukaan kawasan atau wilayah pembangunan baharu.

“Oleh itu, kita membuka Kolej MARA, GiatMARA, IKM (Institut Kemahiran MARA) dan ILP (Institut Latihan Perindustrian) di kawasan berkenaan supaya kawasan itu lebih maju dan tidak berlaku migrasi yang terlalu banyak,” katanya.

Terdahulu, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) ketika mencelah mencadangkan supaya KKDW mengambil peluang pembinaan ECRL di jajaran melibatkan kawasan luar bandar untuk memajukan lokasi terlibat khususnya yang berdekatan stesen pengangkutan itu.

ECRL, yang dijangka beroperasi pada 2027, menghubungkan kawasan Pantai Timur dengan Pantai Barat dan merentasi 20 stesen di empat negeri meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang serta Selangor.

Ahmad Zahid juga menyokong cadangan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) agar KKDW bersama kementerian lain meneliti sektor industri terpilih di bandar untuk dipindahkan ke kawasan luar atau pinggir bandar sekali gus mampu membuka peluang pekerjaan kepada penduduk.

Sementara itu, mengulas mengenai bencana dan pusat permindahan sementara, Ahmad Zahid selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata kerajaan menjangkakan Kelantan, Terengganu dan Pahang serta sebahagian kawasan di Johor, Sarawak dan Sabah akan terkesan susulan luruan hujan yang banyak ketika Monsun Timur Laut.

Beliau berkata kerajaan telah mengenal pasti sembilan lokasi pusat pemindahan kekal yang melibatkan kawasan seperti sekolah manakala pelbagai kemudahan seperti ruang memasak dan tandas akan ditambah.

Ahmad Zahid berkata kerajaan turut meneliti cadangan untuk membangunkan aplikasi dengan teknologi kemas kini masa nyata bagi kemasukan dan status mangsa banjir di pusat pemindahan sementara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan