BELANJAWAN 2025 > BERITA

Hanya Mimpi Nabi Dan Rasul Dianggap Mimpi Benar, Boleh Dijadikan Sumber Hukum - Nooh Gadot

07/11/2024 12:00 AM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) Datuk Dr Nooh Gadut menjelaskan hanya mimpi para nabi dan rasul dianggap mimpi yang benar dan boleh dijadikan sumber hukum serta hujah syarak.

Nooh dalam satu kenyataan hari ini berkata ini kerana para nabi dan rasul adalah maksum dan dilindungi Allah SWT.

“Mimpi orang Islam ada tiga peringkat iaitu peringkat pertama bisikan jiwa, yang kedua godaan syaitan dan ketiga ialah mimpi khabar gembira daripada Allah SWT.

“Mimpi bukan dalil syarak dan tidak boleh dijadikan hujah untuk menentukan sesuatu hukum syarak sama ada halal, wajib atau haram,” katanya.

Nooh menjelaskan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke-36 yang bersidang pada 1994 telah membincangkan mengenai mimpi dari perspektif Islam.

Muzakarah itu telah memutuskan lima perkara iaitu mimpi seorang nabi dan rasul adalah wahyu yang menjadi hukum adalah benar dan mimpi orang ramai di zaman Rasulullah SAW seperti melihat Baginda dalam tidur menyamai melihat Rasulullah dalam masa jaga adalah khusus di zaman semasa Baginda masih hidup.

Selain itu, muzakarah turut memutuskan bahawa mimpi orang Islam selepas wafat Rasulullah, maka ia akan berjumpa di akhirat nanti dan akan mendapat syafaat Rasulullah; mimpi orang Islam ada tiga peringkat iaitu pertama bisikan jiwa, kedua godaan syaitan dan ketiga ialah mimpi khabar gembira dari Allah; mimpi orang bukan Islam adalah ditolak dan mimpi orang awam bukan hujah terhadap satu hukum atau berita atau satu kenyataan.

Pada Isnin lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilapor berkata Nooh telah diminta untuk memberikan penjelasan dan pencerahan kepada masyarakat berkaitan isu mimpi bertemu Nabi Muhammad SAW.

Ia susulan tular dalam media sosial video seorang pemimpin politik mendakwa bermimpi bertemu Rasulullah di kawasan Parlimennya di Pantai Timur.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan