BELANJAWAN 2025 > BERITA

Skuad Berbasikal Lebuh Raya Perlu RM2 Juta Setahun - Amarjit

07/11/2024 12:07 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya RM2 juta setahun, untuk meningkatkan prestasi skuad berbasikal lebuh raya negara, menurut Presidennya Datuk Amarjit Singh Gill.

Beliau berkata jumlah itu, mengambil kira kedua-dua pasukan lelaki dan wanita dalam memastikan mereka dapat disediakan dengan program latihan yang mampan, termasuk kejohanan antarabangsa pada masa akan datang. 

“Kita telah membuat satu kertas kerja untuk lelaki dan juga wanita, dana yang kami perlukan untuk memastikan program yang mampan ialah kira-kira dua juta setahun tentunya. Bukan sahaja untuk acara tempatan, kita juga bercakap mengenai penyertaan antarabangsa.

“Seperti yang disebut Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, perbelanjaan kejohanan skuad ini tidak murah, tiket penerbangan, perjalanan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan bersama Hannah di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini semalam.

Dalam pada itu Amarjit turut berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS), turut membantu memulihkan Velodrom Rakyat di Ipoh yang kini tidak boleh digunakan, kerana lantai kayu untuk trek telah reput.

Beliau berkata trek bagi velodorm itu perlu diturap semula menggunakan konkrit atau menambah bumbung pada venue, supaya ia dapat bertahan lebih lama.

"Velodrom itu telah diubah suai pada kira-kira 2016 oleh KBS dan pada masa itu mereka memutuskan untuk mengekalkan trek kayu. Persatuan Berbasikal Perak (PCA) menasihatkan menambah bumbung ringkas untuk menutup trek yang baru dipasang dan melindungi permukaan kayu daripada hujan dan matahari.

“Ia hanya memerlukan lebih kurang RM1 juta hingga RM2 juta tambahan, tetapi ia tidak berlaku. Jika ia dilakukan trek mungkin masih dalam keadaan baik. Kami telah berjumpa dengan Menteri Hannah hari ini (semalam) dan meminta trek itu diperbaiki supaya ia boleh digunakan semula,” katanya.

Amarjit berkata, pengubahsuaian yang dilakukan pada pada 2016 telah menelan belanja kira-kira RM10 juta, ini termasuk penambahbaikan kepada kemudahan lain dalam venue, bilik serta sistem pemasaan.

Semalam, Hannah berkata pihaknya sedia mempertimbangkan tiga permintaan dikemukakan PKBM kepada kementerian itu, iaitu menaik taraf Velodrom Rakyat di Ipoh, Perak, menyediakan peruntukan khas untuk skuad lebuh raya negara dan peruntukan persatuan bagi menganjurkan kejohanan pada masa akan datang. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan