BERITA TERGEMPAR   PM Anwar Ibrahim tiba di Great Hall of People bagi kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping | 
 BELANJAWAN 2025 > BERITA

KKM Laksana Pelbagai Strategi, Inisiatif Rapat Jurang Nisbah Doktor Di Sabah

07/11/2024 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Keutamaan kepada pegawai perubatan anak kelahiran Sabah untuk berkhidmat di negeri itu, antara strategi dan inisiatif Kementerian Kesihatan (KKM) dalam merapatkan jurang nisbah doktor khususnya di Sabah. 

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata pihaknya juga menempatkan lebih ramai pegawai perubatan, pegawai perubatan yang menamatkan pengajian kepakaran dan pakar perubatan tetap dan kontrak di negeri itu.

“Kita juga akan melaksanakan pendekatan lebih inovatif iaitu menggabungkan perkhidmatan kepakaran dalam lingkungan fasiliti tertentu menerusi konsep hospital kluster dan melaksanakan konsep visiting specialist bagi pakar perubatan menyampaikan perkhidmatan kepakaran kepada penduduk di luar bandar.

“KKM juga akan meneruskan pelbagai insentif untuk menarik dan mengekalkan petugas kesihatan khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, antaranya kemudahan Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan, Tambang Ziarah Wilayah serta Bayaran Insentif Penempatan Pakar Perubatan dan Pakar Pergigian di fasiliti kesihatan di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya. 

Beliau menjawab soalan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) mengenai strategi yang dirangka dan jangka masa yang ditetapkan bagi merapatkan jurang nisbah doktor di Sabah yang ketika ini satu doktor kepada 900 penduduk, berbanding peringkat kebangsaan satu doktor kepada 412 penduduk pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan Isnaraissah Munirah mengenai sasaran nisbah katil bagi Sabah, Lukanisman berkata nisbah katil bagi setiap 1,000 penduduk di Sabah meningkat daripada 1.52 kepada 1.77 dengan sasaran tambahan 1,941 katil di hospital kerajaan yang bakal siap menjelang 2030.

“Untuk unjuran Bed-to-Total Population Ratio (BPR) pengiraan turut melibatkan katil kerajaan bukan KKM dan hospital swasta yang melibatkan 40 katil di hospital Kementerian Pertahanan dan katil di bawah projek Hospital Universiti Malaysia Sabah yang dijangka siap menjelang 2026.

“Pengiraan turut melibatkan unjuran katil di hospital swasta dengan kadar peningkatan sebanyak lima peratus mengikut pola sumbangan pihak swasta di Sabah dalam tempoh lima tahun terkini,” katanya. 

Sementara itu, Lukanisman berkata cabaran besar yang berlaku di Sabah adalah penempatan atau pengisian jawatan pegawai perubatan tidak mencapai jumlah yang optimum berikutan masih terbeban dengan fasiliti yang daif.

Sehubungan dengan itu, beliau menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menambah peruntukan untuk menaik taraf klinik-klinik daif seluruh negara daripada RM150 juta kepada RM300 juta untuk tahun depan.

“Pada tahun ini sahaja 21 klinik desa dan klinik telah pun kita roboh dan bina semula dengan pertambahan kaki persegi bagi menjalankan proses di klinik-klinik kesihatan,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Isnaraissah Munirah mengenai langkah kerajaan dalam meningkatkan fasiliti klinik kesihatan dan hospital yang mampu menarik lebih ramai pakar perubatan dan doktor berpengalaman.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan