BERITA TERGEMPAR | PM Anwar Ibrahim tiba di Great Hall of People bagi kunjungan hormat ke atas Presiden China Xi Jinping | |
PETALING JAYA, 7 Nov (Bernama) -- Polis menahan 10 lelaki dipercayai terlibat kes menyamar sebagai polis sebelum menyamun penunggang motosikal dan melarikan kenderaan mereka di kawasan lebuh raya dan jalan besar sekitar Selangor.
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata kesemuanya yang berusia 25 hingga 39 tahun dan bekerja sebagai penunda kenderaan, penghantar barang serta juruteknik ditahan sekitar Petaling Jaya pada 5 pagi, 20 Okt lepas.
"Siasatan mendapati mereka melakukan perbuatan jenayah itu pada waktu malam hingga awal pagi dengan menyamar sebagai anggota polis menggunakan dua motosikal.
“Mereka akan menahan penunggang motosikal kononnya untuk membuat pemeriksaan sebelum bertindak membawa lari barangan peribadi dan motosikal mangsa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.
Hasil penahanan itu, katanya polis telah merampas sebanyak tujuh motosikal.
Sasikala Devi berkata siasatan awal mendapati tujuh daripada 10 indvidu itu mempunyai 26 rekod jenayah lampau dan 10 rekod berkaitan dadah selain dua daripada mereka positif dadah.
Beliau berkata dengan penahanan itu, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan 10 kes samun sekitar Selangor dan kesemua lelaki itu diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Sungai Buloh untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/170 Kanun Keseksaan.
Dalam kes berasingan, Sasikala Devi berkata polis berjaya menumpaskan Geng Bulat dengan penahanan tiga anggota kumpulannya yang berusia lingkungan 19 hingga 43 tahun, dipercayai terbabit dalam kes curi motosikal dalam Op Lejang di sekitar Jeram, Sungai Buloh sejak 21 hingga 25 Okt lepas.
“Polis turut merampas 14 motosikal selain menahan seorang warga asing yang dipercayai membeli motosikal curi jenis Honda EX5 pada harga RM150 daripada suspek,” katanya.
Berdasarkan siasatan awal, Geng Bulat biasanya akan memantau sasaran mereka sehari sebelum melakukan perbuatan itu khususnya motosikal yang diparkir di kawasan kaki lima atau pangsapuri.
Motosikal yang menjadi sasaran kumpulan itu, menurut beliau antaranya Honda Ex5, Yamaha Ego serta beberapa jenama lain manakala semakan mendapati tiga suspek terbabit yang kini direman hingga 12 Nov ini memiliki lima rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah.
Sasikala Devi berkata dengan tertangkapnya Geng Bulat, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kuranya 13 kes curi motosikal di Selangor melibatkan kerugian dianggar bernilai RM32,000.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial