BELANJAWAN 2025 > BERITA

Konvoi UNIFIL Di Lubnan Terkena Serangan Dron, Anggota Pengaman Dan Askar Cedera

07/11/2024 11:33 PM

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Lima anggota pengaman dan tiga askar Lubnan cedera apabila konvoi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membawa anggota baharu terkena serangan dron ketika melalui Bandar Saida di selatan Lubnan pada Khamis.

Dalam satu hantaran di X (dahulu dikenali sebagai Twitter), Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) mengesahkan lima anggota pengaman yang cedera, hanya mengalami kecederaan ringan dan telah menerima rawatan daripada Palang Merah Lubnan di lokasi kejadian.

“Mereka akan meneruskan perjalanan ke pos masing-masing,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan yang sama menyebut bahawa Tentera Lubnan mengesahkan tiga askarnya yang ditempatkan di pos kawalan berdekatan turut cedera dalam insiden itu.

“Kami mengingatkan semua pihak tentang kewajipan mereka untuk mengelakkan tindakan yang meletakkan pengaman atau orang awam dalam bahaya. Perbezaan harus diselesaikan di meja rundingan, bukan melalui keganasan,” kata UNIFIL.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan yang pasukan Batalion Malaysia 850-12 (Malbatt 850-12) di Lubnan terkena serpihan bahan letupan, dan beberapa anggota dipercayai cedera.

– BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan