BELANJAWAN 2025 > BERITA

Ee Wei Tidak Jamin Kembalikan Prestasi Terbaik Selepas Paris 2024

08/11/2024 02:41 PM

KUALA LUMPUR, Nov 8 (Bernama) -- Pemain beregu campuran nombor satu negara Toh Ee Wei mengakui beliau tidak dapat memberi jaminan akan kembali kepada prestasi mengagumkan selepas Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Ee Wei, yang akan kembali ke gelanggang selepas mengalami kecederaan September lepas berkata sebaliknya, beliau akan memberi tumpuan untuk mendapatkan semula rentak dalam dua kejohanan, iaitu Masters Jepun 2024 diikuti Masters China 2024 bulan ini.

"Sudah lebih sebulan saya tidak menyertai sebarang kejohanan. Saya tidak tahu apa akan terjadi, tetapi ketika bermain, saya akan cuba melakukan yang terbaik.

"Tiada siapa yang mahu kalah dan kami akan berjuang untuk setiap mata dalam kejohanan seterusnya," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.

Masters Jepun 2024 akan diadakan dari 12-17 Nov di Kumamoto manakala Masters China bakal berlangsung bermula 19 hingga 24 Nov ini di Shenzhen. 

Selepas tersingkir pada pusingan suku akhir Olimpik 2024, Chen Tang Jie-Ee Wei meneruskan aksi dalam empat kejohanan termasuk memenangi Terbuka Korea 2024 dan berjaya ke separuh akhir Terbuka Hong Kong 2024.

Bagaimanapun, kemaraan mereka terhenti apabila Ee Wei memerlukan 16 jahitan di lengan kirinya akibat kemalangan di gimnasium di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini.

Walaupun bersemangat untuk beraksi pada acara sebenar, pemain berusia 24 tahun itu gembira dapat merasakan pengalaman apabila menyertai kejohanan jemputan, Bdmntn-XL di Jakarta, Indonesia minggu lepas.

Ee Wei, yang menyertai pasukan BlitzersXL bersama-sama pemain beregu lelaki profesional Ong Yew Sin, Aya Ohori (Jepun) dan Kunlavut Vitidsarn (Thailand), menewaskan HurricaneSBXL pada perlawanan akhir untuk menjuarai kejohanan berkenaan.

Ditanya sama ada beliau menyangka musimnya sudah berakhir susulan kemalangan di gimnasium itu, pemain kelahiran Melaka itu tidak berfikir sedemikian kerana beliau berjaya pulih dengan cepat dan berterima kasih kepada ahli fisioterapi yang menjaganya dengan baik.

"Saya dimasukkan ke hospital selepas kemalangan itu, namun berjaya kembali berlatih selepas empat hari. Saya tidak fikir terlalu jauh, hanya fokus pemulihan, saya cukup gembira dengan perkembangan yang berlaku setakat ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan