BELANJAWAN 2025 > BERITA

Teknologi REWART Bantu Dapatkan Bekalan Air Terawat Di Kampung Orang Asli

08/11/2024 04:43 PM

BATU PAHAT, 8 Nov (Bernama) -- Ranhill SAJ dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan TECHKAM Group berjaya membantu penduduk Kampung Orang Asli Kangkar Senangar, Parit Sulong, dekat sini mendapatkan bekalan air terawat menggunakan teknologi REWART.

Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Anuar Abdul Ghani berkata melalui teknologi ini, ia mampu merawat sumber air bawah tanah untuk terus digunakan sebagai akses sumber air bersih menerusi teknologi penyulingan air yang terkini.

Beliau berkata menerusi inisiatif yang digerakkan melalui Program Komuniti Ranhill SAJ itu ia mampu meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar yang sukar mendapatkan bekalan air terawat, bersih dan selamat.

"Buat kali pertama, kita laksanakan projek CSR (tanggungjawab sosial korporat) ini untuk dimanfaatkan oleh kira-kira 100 penduduk Orang Asli di Kampung Kangkar Senangar, Parit Sulong yang sering berdepan cabaran mendapatkan bekalan air bersih. 

"Inovasi yang diterajui Jabatan Teknologi dan Inovasi, Ranhill SAJ itu lebih efektif bagi sesuatu kumpulan sasaran yang tinggal dan berdepan dengan cabaran bentuk muka bumi dan status pemilikan tanah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anuar berkata inovasi itu juga mampu meningkatkan kualiti kehidupan mereka dengan bekalan air bersih yang lebih sistematik.

Beliau berkata penyelidikan dan pembangunan sistem rawatan air alternatif adalah antara perkara yang menjadi teras kepada kerjasama dengan UTHM dan TECHKAM.

“Menerusi kerjasama ini, penerokaan teknologi serta inovasi baharu tidak hanya memanfaatkan industri air, tetapi turut memberikan impak positif kepada kehidupan rakyat.

“Projek berteraskan sistem penghasilan air dengan teknologi mesra alam itu beroperasi menggunakan tenaga solar sepenuhnya dan air mentah yang disalurkan daripada sumber air bawah tanah akan melalui proses kondensasi di dalam panel CAROCELL (kepingan dilapisi fabrik khas). 

“Seterusnya air yang terkumpul akan disalurkan ke dalam tangki khusus dan boleh terus digunakan sebagai air minuman,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan