NILAI, 9 Nov (Bernama) --FGV Holdings Berhad (FGV) dengan kerjasama Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) menganjurkan Bright Cow Junior Cup 2024 dan Karnival NFDP dalam usaha mencungkil bakat baharu bola sepak demi pembangunan sukan tanah air.
Pegawai Bertanggungjawab Bahagian Produk Pengguna FGV Shammim Azad Kamaruzaman berkata kejohanan di bawah kelolaan Majlis Sukan Negara (MSN) itu mengumpulkan 48 kelab bola sepak remaja terbaik dari seluruh Semenanjung Malaysia untuk menggalakkan gaya hidup aktif, pemakanan seimbang dan pertumbuhan sihat dalam kalangan belia negara.
Beliau berkata dengan tema “Serlahkan Potensi Dengan Khasiat Susu,” kejohanan yang dianjurkan buat kali kedua ini seiring dengan slogan susu UHT Bright Cow dalam menekankan kepentingan pemakanan untuk tumbesaran kanak-kanak.
"Menerusi kerjasama dengan NFDP di bawah MSN, FGV menyokong usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam mencari bakat muda yang berpotensi besar dalam arena bola sepak Malaysia.
"Menerusi kerjasama bersama NFDP di bawah MSN, FGV menyokong usaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam mencari bakat muda yang berpotensi besar dalam arena bola sepak Malaysia.
"Sebagai pengeluar makanan utama, FGV komited dalam menyediakan produk makanan dan pertanian berkualiti untuk rakyat Malaysia. Pemakanan dan kesihatan adalah kunci kepada tumbesaran kanak-kanak yang sihat,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian kejohanan yang menampilkan pemain cilik berusia antara lapan hingga 12 tahun.
Mengulas lanjut, Shammim berkata, Bright Cow Junior Cup edisi kali ini diperluaskan ke peringkat kelayakan wilayah yang meliputi zon pantai timur, utara, selatan dan tengah, bermula 8 Jun lalu dengan pasukan terbaik dari setiap zon layak ke kejohanan akhir.
Beliau berkata sebanyak 48 pasukan juara wilayah bertanding dalam tiga kategori umur iaitu bawah 12 tahun (B12), B10 dan B8.
Pemenang setiap kategori membawa pulang baucar sukan bernilai RM3,000 bagi tempat pertama, RM1,500 bagi tempat kedua dan RM750 untuk dua tempat ketiga bersama, selain trofi dan pingat sebagai penghargaan.
"Kami berharap kejohanan ini menjadi asas kukuh untuk membangunkan generasi muda yang aktif dan cergas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Remaja Negeri Sembilan NFDP Zahiruddin Amirudin berkata NFDP akan terus memantau pemain berpotensi dalam kejohanan berkenaan untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi, seterusnya menjadi atlet negara pada masa depan.
"NFDP telah menghantar pemerhati di setiap zon untuk melihat pemain yang berpotensi. Pemain ini kemudian akan dibawa ke peringkat lebih tinggi seperti Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari, sekolah sukan negeri atau pusat latihan daerah di bawah NFDP," jelasnya.
Aksi final Bright Cow Junior Cup 2024 menyaksikan juara kategori bawah 12 tahun (B12) diraih oleh ATHL Cobra yang menewaskan AT Terengganu 1-0. Sementara itu, juara B10 menjadi milik AT SPU 2 selepas menewaskan Temerloh 3-2, dan kategori B8 pula dimenangi Putra Alor Setar yang mengalahkan NR Junior 3-2.
Aksi final Bright Cow Junior Cup 2024 menyaksikan juara kategori B12 diraih oleh ATHL Cobra yang menewaskan AT Terengganu 1-0 manakala juara B10 menjadi milik AT SPU 2 selepas menewaskan Temerloh 3-2, dan kategori B8 pula dimenangi Putra Alor Setar yang mengalahkan NR Junior 3-2.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial