BELANJAWAN 2025 > BERITA

Paderi Ditikam: PM Wong Seru Rakyat Singapura Bertenang, Bersatu Padu

10/11/2024 09:04 AM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 9 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong menyeru orang ramai supaya kekal tenang dan bersatu padu susulan serangan pisau ke atas seorang paderi di Gereja St Joseph di Bukit Timah, pada Sabtu.

Sambil menyatakan bahawa keganasan tidak mempunyai tempat di negara itu, beliau menggesa semua orang untuk menyokong satu sama lain dalam semangat keharmonian dan daya tahan.

“Sangat terkejut dan sedih mendengar bahawa seorang paderi, Father Christopher Lee telah ditikam di Gereja St Joseph semasa upacara misa. Kami mendoakan agar beliau cepat sembuh.

“Paling penting, kita mesti menegakkan keselamatan dan kesucian rumah ibadat kita – tempat orang ramai mencari kedamaian, ketenangan dan komuniti,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Wong yang juga menteri kewangan berkata beruntung beberapa anggota jemaah membantu melucutkan senjata penyerang sebelum suspek dapat menyebabkan lebih banyak kecederaan.

“Ramai jemaah terkejut dengan apa yang berlaku, dan saya berharap mereka pulih daripada peristiwa traumatik ini,” tambahnya.

Dalam kejadian itu, Lee seorang paderi di Gereja St Joseph, diserang oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau semasa meraikan misa pada 5.30 petang.

Suspek, seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dengan rekod jenayah lampau mencederakan orang dan kesalahan berkaitan dadah kemudiannya ditahan oleh pihak polis.

Berdasarkan siasatan awal, polis percaya suspek bertindak bersendirian dan serangan itu bukan tindakan keganasan.

Lee sedang menerima rawatan di Hospital Universiti Nasional dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan