KOTA KINABALU, 10 Nov (Bernama) -- Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Datuk Seri Hajiji Noor meminta pemimpin dan ahli parti itu supaya bersikap jujur serta tidak hanya memberikan laporan yang ‘baik-baik’ sahaja mengenai keadaan sesebuah kawasan.
Ketua Menteri Sabah itu berkata sikap ikhlas dan jujur dalam memberikan laporan akan membolehkan Gagasan Rakyat menilai situasi sesuatu kawasan dan melaksanakan langkah penambahbaikan terutama dalam usaha menyantuni rakyat di kawasan tersebut.
“Adakalanya, laporan diterima tidak seperti maklum balas yang sampai ke telinga saya, yang dibawa sendiri ahli parti akar umbi. Sebab itu saya tekankan, hubungan antara pimpinan bahagian dengan rakyat setempat, hendaklah sentiasa rapat dan akrab, agar denyut nadi rakyat ini mudah kita selami dan fahami.
“Suka atau tidak, perjuangan ini perlu ditingkatkan. Ketahanan dalam melayari bahtera perjuangan ini pun, perlu diperkukuh. Kita yang berada di dalam Gagasan Rakyat ini bukan sahaja perlu meneruskan langkah perjuangan, tetapi perkemas dan perkukuhlah dahulu parti kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Gagasan Rakyat di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Masidi Manjun.
Sementara itu, Hajiji berkata parti itu masih mempunyai masa untuk mengukuhkan gerak kerja sebelum tiba Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 dijangka tahun depan, iaitu penting dalam meraih mandat daripada rakyat untuk meneruskan perjuangan parti dalam membela rakyat serta negeri.
Beliau berkata mandat baharu itu amat penting kepada rakyat dan negeri ini bagi memastikan segala agenda yang terkandung dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat dilaksanakan dengan berjaya.
“Kita mahu pastikan, setiap keluh-kesah rakyat dapat diambil perhatian dengan serius untuk diselesaikan menerusi Hala Tuju SMJ. Pilihan raya ini (PRN Sabah) adalah peluang terbaik untuk mengukuh usaha kita.
“Gagasan Rakyat perlu mula memperkemas strategi, menyusun rapi pentadbiran dan pengurusan parti. Tiada lagi ruang untuk kita berlengah-lengah atau berpuas hati dengan kedudukan dan pencapaian. Tiada lagi ruang untuk kita bermegah-megah dengan jawatan dan kedudukan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial