BELANJAWAN 2025 > BERITA

RSPO Mohon Kerjasama Inovasi Pacu Transformasi Industri Minyak Sawit Mampan

11/11/2024 09:32 PM

BANGKOK, 11 Nov (Bernama) -- Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RSPO) menggesa kerjasama yang lebih meluas bagi meningkatkan inovasi dan memacu perubahan sistemik yang transformatif dalam sektor minyak sawit.

Ketua Pegawai Eksekutif RSPO Joseph D’Cruz berkata dalam tempoh dua dekad yang lepas, RSPO telah berkembang menjadi pakatan global, yang dianggotai lebih 6,000 ahli merentasi 104 negara dan wilayah, sekali gus meletakkannya dalam kedudukannya yang baik untuk memenuhi permintaan masa depan industri.

"Berdasarkan asas yang kukuh ini, RSPO bersedia memenuhi permintaan untuk 20 tahun akan datang dengan piawaian dan sistem pengesahan yang dipertingkatkan, pensijilan digital yang menyeluruh, perdagangan dan kebolehkesanan yang dikuasakan oleh data," katanya ketika berucap pada Persidangan Rundingan Meja Bulat Minyak Sawit Lestari (RT2024) di sini, Isnin.

Beliau berkata piawaian RSPO telah lama menjadi standard emas untuk pengeluaran dan perdagangan minyak sawit yang bertanggungjawab, beretika dan mampan.

Piawaian ini menjalani penilaian yang ketat, diterajui pihak berkepentingan setiap lima tahun untuk memastikan perkaitan dan kredibiliti berterusan Minyak Sawit Lestari Bertauliah (CSPO) dan produk berkaitan dalam pasaran global yang semakin tertumpu pada kemampanan, kata D'Cruz.

Ia telah diperkukuh untuk disepadukan dengan platform pensijilan, perdagangan dan kebolehkesanan RSPO, dikenali sebagai "Prisma" (Palm Resource Information and Sustainability Management).

"Di RT2024, perwakilan melihat bagaimana Prisma menyediakan data digital dan kebolehkesanan rantaian bekalan. Ia berfungsi sebagai alat berharga untuk ahli, meningkatkan penilaian risiko dan usaha wajar bagi memenuhi keperluan kawal selia," katanya.

Beberapa kerjasama strategik dijalin semasa RT2024, menegaskan peranan RSPO sebagai organisasi kemampanan global yang boleh dipercayai, dan kerjasama ini dijangka meningkatkan manfaat sosial, alam sekitar dan ekonomi pengeluaran serta perdagangan CSPO.

Sementara itu, Setiausaha Agung pertama RSPO, Teoh Cheng Hai, mencerminkan kemajuan ketara organisasi itu ke arah menjadi penanda aras bagi pengeluaran minyak sawit yang mampan.

Dalam ucaptamanya, Teoh menekankan kepentingan perkongsian inovatif dalam membolehkan RSPO maju sebagai badan penentu piawaian global terkemuka untuk minyak sawit mampan, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

RSPO, satu kerjasama peringkat global yang memacu usaha sejak 20 tahun lepas untuk menjadikan pengeluaran dan penggunaan minyak sawit lebih mampan. Bermula dengan 200 ahli dari 16 negara pada tahun 2004 kini telah berkembang kepada lebih 6,000 ahli di lebih 100 negara dan wilayah.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan