BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia, Mesir Punyai Peluang Akses Pasaran Ke ASEAN, Timur Tengah Dan Afrika - Tengku Zafrul

11/11/2024 11:41 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Mesir mempunyai peluang untuk saling membantu mengakses pasaran masing-masing dengan Malaysia sebagai gerbang ke ekonomi ASEAN yang dinamik dan Mesir sebagai pintu masuk ke pasaran Timur Tengah dan Afrika. 

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata menerusi pertemuan bersama pengurusan kanan lebih 60 syarikat terkemuka Mesir dan 20 syarikat Malaysia pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan peluang besar bukan sahaja dalam pasaran Malaysia malah pasaran ASEAN yang semakin berkembang.

"Dengan Malaysia bakal menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025, Mesir berpeluang untuk meningkatkan penglibatannya dengan rantau ASEAN melalui perkongsian rapat dengan Malaysia. 

"Sektor seperti minyak sawit, farmaseutikal, peranti perubatan, tenaga, keterjaminan makanan, infrastruktur, dan teknologi dikenal pasti sebagai bidang strategik untuk diterokai oleh syarikat-syarikat Mesir," katanya menerusi satu hantaran di X, hari ini. 

Melalui rangkaian 16 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia termasuk ASEAN, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), beliau berkata pelabur Mesir berpeluang menikmati akses lebih luas dan insentif menarik ke pasaran antarabangsa yang melangkaui sempadan serantau merangkumi negara seperti Jepun, Australia, Kanada, dan Amerika Latin.

"Dengan sokongan kuat daripada MITI dan ekosistem pelaburan Malaysia yang mesra, Mesir kini berada pada kedudukan sangat baik untuk memanfaatkan platform ini bagi memperkukuhkan kehadirannya dalam rantau pesat berkembang ini. 

"Perkongsian Malaysia-Mesir ini menjanjikan potensi besar untuk meneroka peluang baharu di ASEAN dan memperluas penglibatan ekonomi lebih strategik," kata Tengku Zafrul. 

Tengku Zafrul kini berada di Mesir, menyertai delegasi Perdana Menteri dalam lawatan rasmi empat hari ke Mesir bermula Sabtu lepas atas undangan Presiden Abdel Fattah El-Sisi.

Mesir kini merupakan rakan dagangan kelima terbesar Malaysia di benua Afrika dengan nilai dagangan mencapai RM3.35 bilion pada tahun 2023.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan