ISTANBUL, 11 Nov (Bernama-Anadolu) -- Satu Sidang Kemuncak Luar Biasa Negara Arab-Islam diadakan di ibu kota Arab Saudi, Riyadh, pada Isnin untuk membincangkan serangan berterusan oleh Israel di Semenanjung Gaza dan Lubnan.
"Kami menegaskan semula penolakan kami terhadap genosid yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin," titah Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman, dalam titah pembukaan pada sidang kemuncak itu, menurut Agensi Anadolu.
Baginda menekankan keperluan untuk meneruskan usaha bagi mewujudkan negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.
Putera Mahkota Arab Saudi juga mengutuk usaha Israel menghalang Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) daripada menghantar bantuan ke Gaza.
Putera Mohammed bertitah Arab Saudi menolak sebarang ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan Lubnan.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas pula menyeru negara-negara Arab dan Islam untuk menunjukkan solidariti yang tinggi kepada rakyat Palestin.
Beliau turut menuntut pelaksanaan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghentikan serangan Israel ke atas Gaza dan memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan ke kawasan itu.
Lebih 50 pemimpin negara Arab dan Islam menyertai sidang kemuncak ini, termasuk Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.
– BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial