RIYADH, 12 Nov (Bernama-Anadolu) -- Sidang kemuncak Arab-Islam di Arab Saudi pada Isnin menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan resolusi mengikat yang menguatkuasakan gencatan senjata segera di Gaza dan memudahkan akses segera kepada bantuan kemanusiaan.
Gesaan itu adalah sebahagian daripada kenyataan akhir daripada sidang kemuncak Liga Arab-Organisasi Kerjasama Islam (OIC) yang diadakan di Riyadh untuk menangani krisis yang semakin memuncak di Gaza dan Lubnan, lapor Agensi Anadolu.
Sidang kemuncak itu menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk menggubal "resolusi yang mengikat untuk gencatan senjata dan penghantaran segera bantuan kemanusiaan ke Gaza."
Kenyataan itu juga memuji usaha Mesir dan Qatar, dengan kerjasama Amerika Syarikat (AS) ke arah mencapai gencatan senjata yang pantas dan berkekalan di Gaza serta meminta Israel bertanggungjawab kerana "berundur daripada perjanjian yang dibuat."
Sidang kemuncak juga memberi amaran terhadap pencerobohan yang telah berlarutan lebih setahun di Gaza termasuk Lubnan dan pencabulan kedaulatan Iraq, Syria dan Iran.
Ia juga mengesahkan komitmennya terhadap keselamatan, kestabilan dan kedaulatan Lubnan, mengutuk serangan yang disengajakan ke atas tentera Lubnan, orang awam dan pasukan pengaman PBB (UNIFIL) di negara itu.
Kenyataan itu turut menekankan kepentingan memastikan keselamatan Lubnan dan melindungi rakyatnya di tengah-tengah ketidakstabilan serantau.
Sidang kemuncak di Riyadh mengutuk dasar hukuman kolektif Israel di Gaza, khususnya melaksanakan sekatan dan kelaparan terhadap orang awam.
Selain itu, ia mengecam “jenayah yang mengejutkan dan mengerikan” yang dilakukan oleh tentera Israel di Gaza dan mendesak siasatan antarabangsa yang bebas untuk memastikan individu yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial