BELANJAWAN 2025 > BERITA

Agong Kurnia Surat Cara Pelantikan Kepada 25 Hakim 

12/11/2024 12:55 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap dan mengurniakan surat cara pelantikan kepada 25 hakim di Istana Negara hari ini. 

Istiadat yang berlangsung di Dewan Singgahsana Kecil Istana Negara itu dimulakan dengan pengurniaan surat cara pelantikan kepada Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya Datuk Seri Hasnah Mohamed Hashim diikuti Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Seri Paduka Baginda kemudian berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada lapan Hakim Mahkamah Rayuan, iaitu Datuk Noorin Badaruddin, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, Datuk Dr Alwi Abdul Wahab, Datuk Faizah Jamaludin, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, Datuk Ismail Brahim, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Pada istiadat itu, Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada 15 Hakim Mahkamah Tinggi, iaitu Azizan Md Arshad, Narkunavathy Sundareson, Noor Ruwena Md Nurdin, Jamhirah Ali, Noor Hayati Mat, Azlan Sulaiman dan Kenneth Yong Ken Chinson St. James.

Hakim Mahkamah Tinggi yang lain ialah Leong Wai Hong, Noor Hisham Ismail, Roz Mawar Rozain, Wan Fadhilah Nor Wan Idris, Rofiah Mohamad, Wong Mee Ling, Datuk Raja Ahmad Mokhzanuddin Shah Raja Mohzan dan Suria Kumar D.J. Paul.

Turut hadir menyaksikan istiadat itu ialah Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli. 

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri Datuk Zamri Bakar dan Setiausaha Suruhanjaya Pelantikan Hakim Salinah Ismail. 

Selesai pengurniaan surat cara pelantikan, Yang di-Pertuan Agong berkenan bergambar bersama hakim-hakim yang baru dilantik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan